SEREMBAN: Seorang remaja berusia 13 tahun antara 3,642 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tangkapan tersebut turut melibatkan individu berusia sehingga 67 tahun, sekali gus menunjukkan penyalahgunaan dadah merentasi pelbagai peringkat umur.
“Daripada rekod yang ada, tangkapan melibatkan remaja berusia 13 tahun sehingga individu berusia 67 tahun.
“Ada dalam kalangan mereka merupakan penjawat awam termasuk guru dan pegawai kerajaan namun kebanyakan yang ditangkap tidak mempunyai pekerjaan dan merupakan penagih tegar,” katanya semasa sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Alzafny berkata, jumlah keseluruhan bagi pelupusan di Negeri Sembilan dianggarkan berjumlah RM2.08 juta yang membabitkan sebanyak 2,184 kertas siasatan selama 25 tahun bagi kes yang telah selesai perbicaraan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tangkapan pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri ini menunjukkan peningkatan 13 peratus bagi kes mengedar dadah dan 11 peratus bagi tangkapan kes memiliki dadah manakala tangkapan menerusi ujian air kencing pula menurun 23 peratus.
“Ia menunjukkan tindakan kami lebih proaktif dan agresif. Hasil risikan serta maklumat yang disalurkan orang ramai membolehkan lebih banyak sindiket ditumpaskan dan dadah dirampas.
“Kerjasama masyarakat dengan PDRM semakin baik dan ini menyumbang kepada keberkesanan operasi yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai notis merah pengosongan Balai Rasmi Undang Luak Rembau, Alzafny berkata, polis sentiasa memantau situasi bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
Katanya, setakat ini keadaan di Rembau masih terkawal dan tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman.
“Keutamaan kami adalah memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Apa juga tindakan daripada mana-mana pihak yang boleh mencetuskan kekecohan akan dipantau dan ditangani segera.
“Setakat ini bukan sahaja di Rembau, malah di seluruh Negeri Sembilan keadaan adalah baik dan terkawal. Masyarakat juga menangani isu ini dengan penuh kematangan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Balai Undang Luak Rembau menerima notis merah yang mengarahkan agar pengosongan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas arahan pengosongan serta-merta dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Rembau kepada premis berkenaan pada 29 Jun lalu.
Notis bertarikh 8 Julai itu ditampal pada pagar dengan arahan dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Rembau. – UTUSAN










