Op Pijat tumpaskan sindiket vape dadah antarabangsa

Op Pijat tumpaskan sindiket vape dadah antarabangsa

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Hussein Omar Khan berucap pada sidang akhbar mengenai kejayaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan sebelum menyeludup katrij vape dipercayai mengandungi cecair dadah ke negara jiran menerusi ‘Op Pijat’.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dilancarkan pada 1 Julai lalu itu turut membawa kepada penahanan lapan warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun dalam beberapa serbuan di Meru dan Kajang, Selangor.

Katanya, operasi itu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup katrij vape yang dipercayai mengandungi cecair dadah jenis MDMA ke negara jiran.

“Hasil operasi ini, polis merampas 500 paket plastik mengandungi katrij vape yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis MDMA seberat 4.98 kilogram serta lapan botol plastik kecil berisi cecair dadah jenis sama seberat 197 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM152,400.00,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan menjadikan sebuah rumah di kawasan pedalaman sebagai lokasi memproses dan membungkus dadah sebelum diseludup ke negara jiran melalui laluan laut menggunakan bot.

“Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket yang didalangi warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan pembungkusan dadah,” katanya.

Sementara itu, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Semakan rekod jenayah pula mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kini direman selama 11 hari bermula 1 Julai hingga 11 Julai ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN