ALOR SETAR: Seorang lelaki bersenjatakan senjata api jenis ‘pump gun’ melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM178,000 dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Jalan Langgar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, suspek pada mulanya dilihat berjalan kaki berseorangan dari arah kiri kedai emas sebelum menyapa pekerja perempuan di situ dengan perkataan ‘hai’.
Dia yang berbadan gempal dan memakai topi keledar putih serta membawa beg badminton terus mengacukan senjata api berkenaan kepada pekerja terbabit lalu memecahkan laci pameran menggunakan kapak sebelum melarikan barang kemas dalam masa kira-kira tiga minit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, polis menerima panggilan daripada anak pengurus kedai emas tersebut pada pukul 5.10 petang semalam yang memaklumkan kejadian itu.
Katanya, suspek yang turut memakai sarung tangan putih mengeluarkan kapak daripada beg dan memecahkan cermin pameran beberapa kali.
“Dia kemudiannya mengeluarkan dua dulang berisi 32 rantai emas bernilai kira-kira RM178,000 dan memasukkan ke dalam beg dibawanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek kemudian bergegas keluar dari kedai dan dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.
“Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai tersebut dan hanya terdapat pekerja dan seorang lagi perempuan yang merupakan pengurus kedai serta anak lelaki pemilik kedai tersebut.
“Suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana menunjukkan senjata api dalam melakukan rompak,” katanya. –UTUSAN