Perbaharui bangunan, turunkan kadar sewa

Perbaharui bangunan, turunkan kadar sewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangunan premis Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk arked dan bazarnya perlu diberi sentuhan baharu bagi menarik kemasukan peniaga serta kedatangan pengunjung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya sedia berunding dengan Mara bagi membangunkan kembali premis-premis berkenaan supaya mempunyai daya tarikan sama seperti bangunan perniagaan di kawasan lain.

Katanya, ia penting sebagai langkah permulaan untuk menaikkan kembali lebih 20 peratus atau kira-kira 1,500 daripada 7,258 premis perniagaan Mara di seluruh negara kini kosong dan nilai komersialnya yang berubah akibat peredaran zaman.

“Cadangan ini sekali gus dapat membela nasib para peniaga usahawan bumiputera terlibat. Jika dulu, semua orang tertumpu kepada arked dan bazar Mara, tetapi sekarang banyak perniagaan dan pembangunan yang sudah ada di tengah-tengah bandar. Disebabkan tidak ada tarikan, Mara sudah pasti perlu buat penambahbaikan untuk meningkatkan nilai komersial bagi menarik minat peniaga dan pengunjung untuk membeli barangan di situ.

“DPMM sedia berbincang dengan Mara tentang yang kita boleh lakukan bersama, buat penambahbaikan dari segi reka bentuk dan sebagainya. Selepas itu kita beri keutamaan kepada usahawan Mara untuk berniaga di situ. Ia sebagai nafas baharu untuk Arked dan Bazar supaya orang ramai boleh datang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan lebih 20 peratus atau kira-kira 1,500 daripada 7,258 premis perniagaan Mara di seluruh negara kini kosong dan dalam keadaan suram ekoran nilai komersialnya yang berubah akibat peredaran zaman.

Jumlah ini melibatkan tujuh peratus atau 508 lot kosong dan 10 hingga 15 peratus atau 726 lot hingga 1,089 lot yang berada di dalam keadaan suram.

Situasi ini bukan sahaja mengakibatkan Mara menanggung kerugian RM360,000 sejak 2020 susulan lot kosong yang tidak disewa, malah kira-kira 400 usahawan bumiputera Mara berdepan risiko kerugian apabila premis-premis perniagaan mereka sudah hilang daya tarikan.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, masalah ini bukan sahaja terjadi di Arked dan Bazar Mara, malah juga di premis lain di mana banyak peniaga yang kini terhimpit dengan masalah kewangan.

“Memang ramai peniaga Arked datang berjumpa dengan saya, mengadu masalah seperti ini. Tetapi kita kata kita tidak boleh buat apa-apa sebab mereka terikat perjanjian dengan pihak Mara. Jadi, pada saya Mara perlu teliti kembali perjanjian sewa beli dengan peniaga kerana mungkin Mara merasakan sewa yang dikenakan tidak mahal, namun Mara perlu tahu, tiada pulangan kepada peniaga kerana kurang pengunjung.

“Ramai di antara peniaga Arked ini menggunakan wang simpanan mereka untuk memulakan perniagaan, namun akhirnya wang simpanan pun habis dan kini tidak mampu untuk tampung kos perniagaan, akhirnya terpaksa tutup sehinggalah membuatkan keadaan di Arked dan Bazar Mara itu suram,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN