Perak tingkat bantuan golongan marhaen, prasarana rakyat

Perak tingkat bantuan golongan marhaen, prasarana rakyat

SAARANI Mohamad sebak ketika membentangkan Belanjawan Perak 2024 semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belanjawan Perak 2024 menyaksikan bantuan yang dikhususkan kepada golongan marhaen terus dipertingkatkan manakala peruntukan bagi pembangunan infra termasuk di kawasan luar bandar ditambah baik.

Antara yang menjadi tumpuan ialah kadar bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM400 sebulan yang akan memanfaatkan 6,600 penerima mulai Januari 2024.

Kerajaan Negeri juga bersetuju syarat kelayakan bagi permohonan Bantuan Kewangan yang dikendalikan oleh JKM akan menggunapakai kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,198 sebulan berbanding RM1,168 pada masa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Program Rumah Perakku Prihatin juga ditingkatkan kepada RM6 juta berbanding RM5 juta sebelum ini menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah khusus kepada golongan B40 yang menetap dan bermastautin di Perak pada kadar siling RM100,000 bagi seunit rumah.

“Komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penggunaan pengangkutan awam secara optimum direncanakan melalui inisiatif Bas Perak Sejahtera dengan penyediaan kemudahan bas henti-henti di sepanjang laluan sosial yang telah dikenal pasti.

“Ini mengambil kira keperluan dalam kalangan warga emas, golongan B40, pelajar sekolah dan Orang Asli.

“Menyedari keperluan ini, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera terus disediakan bagi Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar serta Batang Padang dengan peruntukan RM2 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2024 pada Jumaat.

Sejajar dengan keperluan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan prasarana rakyat, Saarani berkata, RM100.0 juta diperuntukkan kepada JKR bagi tujuan pembangunan iaitu peningkatan RM10.0 juta berbanding tahun 2023.

“Daripada jumlah tersebut, RM37.0 juta diperuntukkan untuk projek jalan dan jambatan manakala RM63.0 juta untuk projek bangunan,” katanya.

Tambahan daripada itu, kerajaan negeri dijangka menerima peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) RM600 juta untuk menyelenggara jalan-jalan yang berdaftar.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan dana sebanyak RM1 juta.

Katanya, ia bagi membolehkan pelaksanaan beberapa program termasuklah membabitkan bantuan pengurusan untuk tujuan start up, bantuan pemulihan bagi koperasi berstatus tidak aktif yang memenuhi syarat serta program pengupayaan, latihan dan pengembangan kemahiran khusus berkaitan keusahawanan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan program Kedai Bergerak yang sejak sekian lama menjadi program yang sangat dekat dengan rakyat marhaen membabitkan peruntukan sebanyak RM0.82 juta.

“Program ini diteruskan bagi membolehkan lapisan masyarakat terutamanya di luar bandar dapat membeli barang makanan dan keperluan dengan harga yang murah dan berpatutan,” katanya.

Saarani berkata, elaun ketua kampung yang ditanggung kerajaan negeri juga dinaikkan RM100 daripada RM200 seorang kepada RM300 seorang pada setiap bulan melibatkan implikasi kewangan bernilai RM1.9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya