Penuntut USM warga Palestin hilang 25 ahli keluarga akibat keganasan Israel - Utusan Malaysia

Penuntut USM warga Palestin hilang 25 ahli keluarga akibat keganasan Israel

PENUNTUT warga Palestin, Majed F.S. Habib (kanan) menerima sumbangan RM2,000 yang disampaikan Awang Adek Hussain (dua dari kiri) sebagai tanda solidariti USM terhadap rakyat negara itu yang menjadi mangsa keganasan regim Israel ketika ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kehilangan 25 ahli keluarga akibat dibom regim Zionis di Gaza merupakan kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya buat seorang pelajar warga Palestin, Majed F.S. Habib, 44.

Tambah menyayat hati, Majed yang merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, terdapat jasad beberapa sepupunya yang berkubur di bawah runtuhan bangunan kediaman mereka di Shija’iah, Gaza yang musnah akibat dibom regim Israel.

Majed yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam di Gaza berkata, sejak konflik antara Palestin dan regim Israel berlaku  Oktober lalu, kehidupannya di Pulau Pinang sebagai seorang pelajar PhD berubah sama sekali.

Ini kerana, tambahnya, dia sukar menumpukan perhatian di dalam pelajaran kerana sering terkenangkan nasib isteri dan ahli keluarganya di Gaza.

”Setakat ini isteri dan ahli keluarga mentua saya terselamat meskipun dua bangunan yang mereka diami di Shija’iah musnah dibom rejim Israel.

“Dalam kejadian pengeboman itu juga, ramai sepupu dan ahli keluarga saya terkorban, malah ada yang tidak dapat dikeluarkan daripada runtuhan bangunan kerana situasinya tidak selamat,” katanya ditemui di USM, di sini hari ini.

Terdahulu, Majed menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada pihak USM sebagai tanda bersolidariti bersama Palestin yang mana dia merupakan antara 53  pelajar warga Palestin yang melanjutkan pengajian di USM menerima sumbangan tersebut.

Yang hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Mengulas lanjut, Majed berkata, pada masa ini, isteri dan abang iparnya berada di kem pelarian di Rafah, sempadan Mesir bagi mencari perlindungan.

”Saya hanya dapat berhubung dengan mereka sekitar lima hari lalu dan abang saya maklumkan mereka selamat, selepas itu saya tidak lagi dapat berhubung dengan mereka.

”Setiap hari saya mengikuti saluran berita antrabangsa mengenai Gaza kerana saya bimbang dengan keadaan keluarga di sana,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar Ijazah Sarjana Perniagaan di USM, Mahmoud M.A. Brieka berkata, dia turut kehilangan 15 ahli keluarga sepanjang 73 hari konflik berlaku antara Israel dan Palestin.

“Saya menyambung pengajian di peringkat tertinggi di Malaysia sejak tujuh tahun lalu dan keluarga saya yang dahulunya tinggal di Khan Yunis terpaksa menjadi pelarian selepas kawasan itu dibom Israel.

“Apa yang berlaku di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai dan ia umpama mimpi ngeri buat kami rakyat Palestin.

“Saya berharap masyarakat antarabangsa akan terus memberikan sokongan kepada kami agar penduduk Palestin dapat membina semula kehidupan kerana Gaza tidak dapat didiami pada masa ini disebabkan musnah dibom Israel,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya