KAHERAH: Israel dan Amerika Syarikat (AS) menolak dokumen cadangan yang dikemukakan secara bersama oleh kumpulan-kumpulan pejuang Palestin, termasuk Hamas di Gaza.
Dokumen itu berkaitan isu pelucutan senjata dengan penubuhan negara Palestin dan jaminan keselamatan di wilayah tersebut.
Penolakan itu menyusul selepas pusingan terbaharu rundingan mengenai masa depan Gaza yang memperlihatkan jurang perbezaan pendapat semakin meruncing antara kedua-dua belah pihak.
Menurut sumber, cadangan itu menuntut agar perbincangan mengenai pelucutan senjata Hamas dan kumpulan lain disertakan dengan pemberian hak politik kepada rakyat Palestin dalam kerangka kebangsaan.
Selain itu, dokumen berkenaan turut menuntut komitmen yang jelas bahawa pembunuhan ke atas rakyat Palestin di Gaza tidak akan berlaku lagi.
Perselisihan pendapat antara AS-Israel dengan kumpulan Palestin semakin mendalam selepas siri mesyuarat di Kaherah, Mesir dan Istanbul sejak beberapa minggu lalu. Ia turut melibatkan desakan AS dan Israel yang mahu Hamas melucutkan senjata terlebih dahulu sebelum sebuah kerajaan teknokrat ditubuhkan di Gaza.
Wakil Palestin telah menyerahkan cadangan mereka kepada pihak pengantara iaitu Mesir dan Turkiye pada Jumaat lalu. Namun, dokumen tersebut ditolak oleh pihak pengantara dan juga AS pada keesokan harinya.
Malah, sumber tersebut mendedahkan bahawa pihak AS turut menyampaikan mesej berbentuk ugutan kepada pasukan perunding Palestin susulan penyerahan kertas cadangan berkenaan.
Walaupun gencatan senjata pada Oktober tahun lalu sebahagian besarnya menghentikan perang Gaza yang bermula selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 2023, wilayah itu masih dibelenggu keganasan.
Ia berlaku apabila serangan Israel berterusan dan kedua-dua pihak dengan tentera Israel serta Hamas saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata.
Kempen ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 72,000 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah itu. – AFP/AGENSI










