Penglibatan bukan Islam jawatankuasa undang-undang Syariah tidak berasas 

Penglibatan bukan Islam jawatankuasa undang-undang Syariah tidak berasas 

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam adalah tidak berasas sama sekali.

Ini kerana dasar pentadbiran Islam termasuk perundangan dan kehakiman Syariah sentiasa terlebih dahulu merujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan bertujuan mengkaji isu-isu berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu katanya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan dianggotai pakar-pakar undang-undang terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

“Kesemua anggota dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik dan harmoni.

“Ini dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan dan sistem kehakiman syariah negara ini. 

“Anggota jawatankuasa khas yang dilantik pada masa ini menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing. Selanjutnya hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Beliau menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Mohd. Na’im justeru menegaskan cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Beruas itu adalah tidak berasas sama sekali.

 Katanya, perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sharafuddin Idris Shah.

Ini termasuk merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

 “Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam. 

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya