RANTAU PANJANG: Penduduk di Kampung Tersang di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membawa turun barang yang disimpan di tempat tinggi meskipun banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini sudah pulih.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, langkah itu diambil memandangkan tempoh musim tengkujuh masih belum tamat dan dijangka berakhir Mac tahun hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Nordin Yusof, 52, berkata, langkah itu merupakan ikhtiarnya untuk mengelakkan kerugian akibat bencana banjir sebagaimana yang pernah dialami sebelum ini.
“Kebanyakan barang di rumah ini seperti almari, katil serta barangan elektrik baru sahaja dibeli selepas rosak teruk ketika banjir sebelum ini.
“Jadi, untuk kali ini, saya menyimpan semua barang di tempat tinggi dan hanya akan membawa turun selepas musim banjir berakhir kerana biasanya pada bulan Februari juga masih lagi berlaku banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Nordin memberitahu, dia mengambil masa selama tiga hari untuk menyimpan semua barang di tempat tinggi.
Katanya, pada masa sama dia turut membina rak setinggi lebih empat meter di tingkat atas rumah sebagai langkah mengelakkan barangan tersebut ditenggelami air.
“Langkah ini supaya kita tidak buat kerja sama berulang kali kerana kerja-kerja menyimpan dan membersihkan rumah adalah sangat memenatkan.
“Jadi, saya akan terus meletakkan kesemua barang di atas rak berkenaan buat sementara waktu dan hanya membawa turun beberapa barang keperluan sahaja untuk digunakan,” katanya. –UTUSAN










