Penduduk harap jalan utama tidak dinaiki air

Penduduk Taman Gambang Damai harap jalan utama tidak dinaiki air

DUA pembentung dibina bagi menampung jumlah air di perparitan hadapan perumahan Taman Gambang Damai, Kuantan, Pahang yang sering menjadi punca kepada masalah jalan dinaiki air setiap kali tiba musim tengkujuh. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penduduk di Taman Gambang Damai di sini berharap kejadian jalan utama ke situ yang sering dinaiki air setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL), tidak lagi berulang selepas kerja-kerja pelebaran parit dan membina dua pembentung dilakukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Bunyamin Mohd. Ghani, 45, berkata, sejak beberapa minggu lalu, kerja-kerja meluas dan membersihkan perparitan di hadapan perumahan itu giat dilakukan.

Katanya, sebelum ini laluan terbabit sering kali dinaiki air terutama jika berlaku hujan lebat berterusan sekali gus mengakibatkan pengguna yang melaluinya terputus hubungan.

“Saya mula menyewa di perumahan ini sekitar dua tahun lalu kerana bertukar tempat kerja dan sepanjang tempoh itu, pernah dua kali berhadapan situasi terputus hubungan kerana jalan ditenggelami air.

“Saya terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu melalui jalan berbukit dan tidak berturap untuk ke rumah sewa. Sebelum tahu ada laluan alternatif, saya terpaksa menunggu di tepi jalan sehingga air surut. Mujur juga apabila air naik, ia cuma mengambil masa sekitar tiga atau empat jam sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Gambang Damai, Abdul Ghani Abdullah berkata, difahamkan pihak bertanggungjawab bukan hanya melebarkan parit, malah membina dua pembetung bagi menampung jumlah air di situ.

“Sebelum ini hanya ada satu pembentung, jadi mungkin disebabkan itu sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung jumlah air lalu melimpah ke jalan dan mengakibatkan terputus hubungan.

“Kita tidak tahu lagi situasi bagaimana selepas perparitan ini siap kerana belum berlaku hujan yang betul-betul lebat. Harap selepas ini tidak lagi berlaku kejadian jalan dinaiki air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×