Pemilik salun rambut didenda RM5,000 tidak pamer caj dandanan

Pemilik salun rambut didenda RM5,000 tidak pamer caj dandanan rambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik salun rambut yang tular di Bukit Bintang kerana mengenakan caj dandanan rambut mahal, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memaparkan senarai caj perkhidmatan.

Hakim Norina Zainol Abidin mendenda Nurul Jannah Abdullah, 52, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan dan wanita itu membayarnya.

Mengikut pertuduhan, Nurul Jannah didakwa gagal memaparkan senarai perkhidmatan dandanan rambut dan caj yang dikenakan di sebuah salun di Jalan Bukit Bintang di sini pukul 12.26 tengahari pada 11 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Perintah 5(a) perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000.

Terdahulu Nurul Jannah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan.

“Saya menghidap sakit kanser tahap satu selain mempunyai tanggungan ibu yang berusia 80 tahun di kampung. Saya juga tidak boleh melakukan kerja-kerja berat,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul A’ain Shafie dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, memohon supaya OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan berikutan kesalahan yang dilakukan serius.

“Dalam kes ini, pelanggan yang merupakan pasangan pelancong telah mempersoalkan harga yang dikenakan mahal dan tidak masuk akal. Akibat situasi itu telah menjejaskan imej negara apatah lagi kes tersebut telah tular di media sosial,” kata Nurul A’in.

Pada 11 April lalu, media melaporkan pemilik perniagaan dan dua pekerja asing salun rambut di Bukit Bintang yang mengenakan caj RM120 kepada pelancong asing, diambil tindakan di atas kesalahan tiada penandaan harga.

Pengarah (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan itu dijalankan pihaknya susulan aduan yang dikesan melalui sosial media.

Hasil pemeriksaan, kita dapati terdapat dua warga asing dipercayai bekerja di premis tersebut iaitu lelaki warganegara Pakistan dan Algeria.

Bagaimanapun, lelaki warga Algeria dipercayai pekerja sambilan sudah mengaku secara lisan mengenai caj tinggi yang dikenakan kepada pelancong.

Mengulas lanjut mengenai operasi kedai tersebut, Ariffin berkata, pemeriksaan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis terbabit untuk semua perkhidmatan yang ditawarkan.

Tambah Ariffin, tindakan kes diambil bawah AKHAP 2011 berkaitan kesalahan tiada penandaan harga.

Terdahulu, KPDN memaklumkan telah mula menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua pelancong dicaj sehingga RM120.

Perkara itu tular di media sosial selepas pasangan tersebut memuat naik video dan bertanyakan sama ada mereka telah ditipu susulan harga dikenakan itu terlampau mahal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya