PETALING JAYA: Pemansuhan Seksyen 498 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Persekutuan tidak menjejaskan peranan agensi-agensi agama untuk melaksanakan usaha-usaha pengukuhan institusi keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, agensi-agensi agama dibawahnya akan terus melaksanakan program-program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai-nilai Sakinah, mawaddah dan Rahmah.
Kata beliau, pemansuhan Seksyen 498 dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik.
“Justeru, semua pihak adalah diseru untuk menghormati keputusan tersebut. Pun begitu, jika dilihat daripada aspek hukum syarak, Islam sangat mementingkan keharmonian rumahtangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.
“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumahtangga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Seksyen 498 tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memansuhkan peruntukan itu.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.
Seksyen 498 melanggar hak wanita bagi kesaksamaan di sisi undang-undang kerana ia hanya memberikan hak kepada suami untuk memulakan prosiding jenayah terhadap individu yang mengganggu rumah tangganya.
Mengulas lanjut, Mohd Naim berkata, selaras dengan hukum syarak, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) sudah menjadikan perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga sebagai suatu kesalahan.
“Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumahtangga selaras dengan kehendak syarak,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menyeru seluruh umat Islam terutama para suami dan isteri untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga.
“Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah.
“Selain itu, semua pihak juga adalah dipohon supaya saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam,” katanya. – UTUSAN










