Pemandu sebabkan kematian Syed Muhammad Danial didapati bersalah - Utusan Malaysia

Pemandu sebabkan kematian Syed Muhammad Danial didapati bersalah

Syed Muhammad Danial
YEW Wei Liang hadir ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar keputusan di akhir kes pembelaan berhubung tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada 2019, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja teknologi maklumat (IT) didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu insiden kemalangan jalan raya pada 2019.

Bagaimanapun, Hakim Julia Ibrahim di akhir kes pembelaan memutuskan kesalahan dilakukan Yew Wei Liang itu dijatuhkan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) dan bukan seperti pertuduhan asal Seksyen 302 KK.

Seksyen 304 (a) memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda. Bagaimanapun, prosiding keputusan hukuman dibawah seksyen tersebut akan bersambung pukul 2.30 petang. 

Terdahulu, Julia dalam penghakimannya menjelaskan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah bawah Seksyen 304 (a) KK dengan mendapati kredibiliti saksi-saksi pendakwaan kekal tidak tercabar sehingga akhir kes pembelaan.

Jelasnya, beban membuktikan hak pertahanan diri dari ancaman kecederaan tubuh terletak di atas tertuduh di bawah Seksyen 105 Akta Keterangan 1950. 

“Tertuduh gagal membuktikan terdapat ancaman kecederaan tubuh terhadapnya dan isterinya daripada simati.

“Bagaimanapun, berdasarkan keseluruhan keterangan mahkamah mendapati wujud hak mempertahankan harta tertuduh dari perbuatan khianat (mischief) oleh simati iaitu merosakkan kereta Innova OKT dengan menggunakan kayu baseball.

“Namun, hak pertahanan harta ini tidak dilanjutkan (extend) sehingga menyebabkan kematian simati (Seksyen 104 KK),” katanya. 

Berdasarkan pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili Peguam Wee Choo Keong dan Yeo Wei Min

Seramai 20 saksi pendakwaan dan 65 eksibit termasuk dokumen berkaitan dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung bermula 27 Oktober 2021.

Sebelum ini, kejadian melibatkan kes tersebut tular di media sosial dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan suspek selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan sebelum Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia pada hari yang sama ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya