Ubah suai motosikal bantu mangsa banjir

Pekebun sayur ubah suai motosikal bantu mangsa banjir

MOHD. Kalmiru Zuhairi Abdullah menunggang motosikal yang diubah suai untuk membawa mangsa banjir di Kampung Bawah Lembah, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang pekebun sayur menggunakan kreativitinya mengubah suai motosikalnya menjadi tinggi bagi membolehkan dia membantu penduduk yang terkesan dengan banjir untuk berpindah ke tempat selamat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Mohd. Kalmiru Zuhairi Abdullah, 27, berkata, idea modifikasi itu timbul selepas melihat ramai penduduk yang terkesan akibat banjir besar yang melan­da kawasan Rantau Panjang pada awal tahun ini.

Menurutnya, bertitik tolak dari situ dia yang dibantu oleh bapa saudara Mazlan Mohamad, 48, untuk menyiapkan motosikal tersebut dengan menggunakan modal sebanyak RM500.

“Alhamdulillah, sepanjang dua minggu kawasan ini dilanda banjir, saya telah membantu ramai mereka yang terjejas tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Walaupun ia tidak seberapa, saya gembira dapat berbakti kepada penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Kalmiru Zuhairi memberitahu, dia dan bapa saudara mengambil masa selama lima bulan untuk menyiapkan motosikal tersebut yang diubah se­tinggi 1.6 meter.

Katanya, dalam satu-satu masa motosikal tersebut boleh membawa empat orang dewasa.

Terdahulu motosikal yang diubah suai oleh anak muda dari Kampung Bawah Lembah, Gual Periok itu tular di laman sosial dan aplikasi TikTok sehingga mendapat pelbagai reaksi positif.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN