MELAKA: Pasar Terapung Sungai Melaka di sini yang mengambil konsep seperti di Bangkok, Thailand dan Bandung, Indonesia akan mula beroperasi pada Februari tahun depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata, pasar atas air yang mengumpulkan antara 30 hingga 50 peniaga menggunakan bot itu akan ditempatkan bermula dari Dataran Pengkalan Rama sehingga ke Sungai Melaka Fasa Dua.
Beliau berkata, untuk fasa pengenalan, para pembeli hanya akan berada di tebing Sungai Melaka bagi proses jual beli.
“Disebabkan ini adalah produk pelancongan baharu, kita masih dalam proses kajian dan percubaan pelaksanaan. Apabila dibuka Februari ini, pembeli akan melakukan jual beli dengan berada di tebing sungai terlebih dahulu.
“Sekiranya tiada apa-apa masalah, kelak barulah kita akan perkenalkan konsep lain contohnya pembeli juga boleh menaiki bot untuk melawati gerai-gerai terapung itu. Selain peniaga atas bot, terdapat juga peniaga atas darat melibatkan kira-kira 200 kios.
“Pelbagai barangan akan dijual di Pasar Terapung Melaka termasuk makanan dan minuman serta cenderahati. Ini adalah produk pertama diperkenalkan di Malaysia, jadi rakyat kita tidak perlu lagi ke Thailand atau Indonesia untuk merasai pengalaman ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Murad, para peniaga yang berminat untuk menyertai Pasar Terapung Sungai Melaka boleh menghubungi PPSPM untuk maklumat lanjut.
Dalam perkembangan lain, Murad memaklumkan, turut akan dibuka pada April 2024 adalah taman mini biawak atau Taman Mini Siguana yang merupakan penjenamaan semula Pirate Park di Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai.
“Proses pembinaan dan naik taraf sedang berjalan. Jika tiada apa-apa halangan kita jangka ia akan dibuka pada April tahun depan,” jelasnya. – UTUSAN










