PERMATANG PAUH: Sebanyak 113 buah motosikal disita dalam Ops Khas Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Taman Samagagah, dekat sini, tengah malam tadi.
Dalam operasi yang diadakan bertujuan membanteras kegiatan yang membahayakan pengguna serta mengganggu ketenteraman awam itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 334 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, terdahulu, seramai 75 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT terlibat dalam operasi khas itu.
Katanya, mereka turut dibantu oleh 26 pegawai dan anggota PLUS yang bertugas pada malam tersebut.
“Dalam hal ini, pihak JSPT Bukit Aman dan JSPT IPK Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti ini.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membendung kegiatan ini daripada terus berulang,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng San turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti berkenaan menyalurkannya kepada bilik gerakan IPD SPT di talian 04-5306402 atau 04-5382222. – UTUSAN