MFGA hasrat luaskan rangkaian ke luar negara ASEAN

Grand final meriah, MFGA hasrat luaskan rangkaian pelancongan ke luar negara ASEAN

ZULKIFLI Mohd. Razali (berdiri barisan depan, sembilan dari kiri) bergambar bersama para peserta luar negara dan tempatan sebelum memulakan kejohanan golf grand final Road To Historical Melaka 2023 di di Tiara Melaka Golf and Country Club, Melaka, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kejayaan dua siri kejohanan golf grand final yang berlangsung di luar Lembah Klang pada 2022 dan 2023, Malaysia Flying Golfers Association (MFGA) menaruh keyakinan pihaknya mampu memperluaskan hubungan dalam kalangan pemain industri pelancongan negara-negara bukan ASEAN.

Keyakinan itu bersandarkan kepada sambutan menggalakkan yang diterima daripada peserta tempatan dan luar negara dalam beberapa siri kejohanan sebelumnya termasuk grand final di Iskandar Puteri, Johor pada tahun lalu dan grand final di Melaka baru-baru ini.

PESERTA hari kedua grand final bergambar sebelum kejohanan bermula di A’Famosa Golf Resort.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali berkata, sambutan menggalakan itu menyuntik semangat dan keyakinan kepada ahli-ahli MFGA untuk terus menganjurkan kejohanan golf pada tahun hadapan, bukan sahaja dalam negara bahkan mungkin akan diadakan di negara-negara luar.

“Penyertaan pemain luar negara seperti dari Korea, Taiwan, Singapura, Brunei, Indonesia dan Vietnam menjadikan kejohanan grand final kali ini cukup meriah.

“Melalui kejohanan seperti ini juga ia secara tidak langsung dapat membina dan mengukuhkan hubungan antara ahli-ahli MFGA dengan agensi-agensi pelancongan dari luar negara ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di A’Famosa Golf Resort, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Perancangan lebih besar

Menurut Zulkifli, menjalin dan mengeratkan hubungan menjadi matlamat utama MFGA menganjurkan kejohanan golf dalam kalangan pemain-pemain industri pelancongan baik di Malaysia mahupun di luar negara terutama negara-negara ASEAN.

Bagaimanapun, katanya, MFGA mempunyai perancangan yang lebih besar di mana pihaknya cuba memperluaskan rangkaian industri pelancongan ini kepada lebih banyak negara-negara bukan ASEAN.

NASARUDDIN Abd. Basir muncul juara gross selepas mencatat 145 pukulan keseluruhan.

“Justeru, pada tahun depan, MFGA akan memantapkan lagi pencapaian berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kita sudah ada track record kita dalam kejayaan beberapa siri kejohanan golf sebelum Covid-19 dan selepas pandemik.

“Kita sedar semua pihak menghadapi masalah sebelum dan selepas pandemik Covid-19, tetapi sekarang ini adalah masa untuk kita bangkit dan kembangkan semula industri pelancongan negara dengan mengeratkan kembali jalinan dengan negara-negara ASEAN dan bukan ASEAN yang terputus dahulu.

“Semua negara ada kumpulan pemain industri pelancongan seperti MFGA, malah mereka mungkin lebih sukses seperti Thailand contohnya. Jadi kita akan cuba yang sebaik mungkin untuk membantu mempertingkatkan lagi industri pelancongan negara melalui kejohanan-kejohanan golf seperti ini,” ujarnya.

Sasaran tarik lebih negara luar

Sememangnya MFGA berusaha menarik lebih banyak negara-negara luar untuk menyertai kejohanan golf anjuran MFGA dan tumpuan ini bukan sahaja melibatkan negara-negara ASEAN, malah negara-negara bukan ASEAN juga.

Manakala untuk tembusi pasaran Eropah, kata Zulkifli, MFGA perlu terlebih dahulu menjadi keahlian dalam Pertubuhan Pelancongan Golf Antarabangsa (IGTO).

“Bila sudah menganggotai IGTO, barulah kita boleh bersuara dan memberi cadangan bagaimana untuk kita mempertingkatkan industri pelancongan di Malaysia,” katanya.

Terima kasih Tourism Malaysia

Pihak MFGA bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia yang banyak membantu MFGA menganjur dan menjayakan kejohanan golf dalam kalangan pemain-pemain industri pelancongan ini.

Zulkifli berkata, geran-geran daripada kerajaan melalui Tourism Malaysia amat membantu MFGA dalam mencapai matlamatnya.

ROSLAN Pie muncul pemain paling bertuah apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa televisyen 55 inci.

“Selain Tourism Malaysia, MFGA juga berterima kasih kepada semua penaja yang turut menjayakan kejohanan sepanjang tahun ini.

“Jadi, kita akan teruskan strategi ini pada tahun depan dan lokasi yang menjadi pilihan untuk tahun 2024 ialah di Damai Laut, Lumut, Perak,” ujarnya.

Pada kejohanan grand final yang berlangsung selama dua hari di Tiara Melaka Golf and Country Club dan A’Famosa Golf Resort, pemain yang juga ahli MFGA, Nasaruddin Abd. Basir muncul juara gross selepas mencatat 145 pukulan keseluruhan.

Manakala Ramlan Md. Nor pula muncul juara Medal A dengan pungutan 80 mata. Juara Medal B pula milik Osman Manan dengan 78 mata dan juara Medal B dimenangi oleh Badar Sharif selepas maraih 77 mata.

Sementara itu bagi kategori jemputan pula, wakil dari Utusan Malaysia, Imran Mohamad Nor muncul juara pada hari pertama di Tiara Melaka Golf and Country Club, manakala Roslan Pie dinobatkan juara pada hari kedua di A’Famosa Golf Resort.

Roslan juga muncul sebagai pemain bertuah apabila turut menang hadiah utama cabutan bertuah berupa televisyen 55 inci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya