MCA patut terima hakikat tak diperlukan tarik kaum Cina

MCA patut terima hakikat tak diperlukan tarik kaum Cina

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: MCA kini dilihat semakin takut dengan bayang-bayang sendiri ketika mereka sedar bahawa parti itu sudah tidak diperlukan lagi untuk mendapatkan undi kaum Cina menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, hal itu disebabkan gabungan sedia ada sudah memiliki DAP yang terang-terang berjaya mendapatkan undi kaum Cina.

Katanya, tindakan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menyalahkan serta meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima hakikat sokongan orang Melayu terhadap BN sudah merosot, adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“(Pihak) yang sepatutnya terima hakikat dan kenyataan adalah MCA kerana mereka jelas kehilangan undi Cina. Hakikatnya, parti itu hanya mampu menang dua daripada 44 kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Malah dua kerusi itu pun sebenarnya merupakan ‘sedekah’ daripada UMNO kerana majoriti pengundi di situ adalah Melayu. Adakah dua kerusi itu cukup menunjukkan kaum Cina masih bersama MCA?

“Sebab itu kita kena sedar diri sebelum bercakap kerana tindakan sedemikian akan memakan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kenyataan Teik Cheng itu dibuat kelmarin setelah Ahmad Zahid mendakwa prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini disebabkan ‘pengundi putih’ daripada gabungan itu tidak keluar mengundi.

Mengulas lanjut Shaiful Hazizy berkata, undi Melayu terhadap UMNO masih kuat kerana parti itu tidak pernah hilang deposit dalam semua kerusi ditandingi sama ada dalam PRU, Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRK.

“Kita perlu faham, susah bagi akar umbi untuk menerima kerjasama antara UMNO dan PH tetapi MCA selaku rakan komponen perlu percaya dengan kekuatan kerajaan Madani untuk akhirnya berjaya menarik undi Melayu pada PRU akan datang.

“Kalau Teik Cheng nak gunakan PRK Kemaman sebagai indikator betapa teruknya UMNO, beliau perlu ingat kami tidak hantar orang parti pun untuk bertanding di situ dan Teik Cheng perlu ingat Kemaman memang milik PN sebelum ini malah semua kerusi DUN dalam Parlimen itu dimenangi mereka,” katanya.

Tambahnya, calon yang diletakkan untuk bertanding di situ juga bukan menentang calang-calang orang memandangkan lawannya adalah seorang Menteri Besar.

“Dalam keadaan kita tidak hilang deposit dan berjaya dapat puluhan ribu undi di kerusi yang sangat sukar, itu sudah tunjuk UMNO masih ada di hati rakyat. MCA patut saling membantu untuk dapatkan undi Melayu dan bukannya mengeluarkan kenyataan bersifat ‘mengumpan’ yang akhirnya tambah membuatkan undi Melayu hilang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN