KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang penuntut kolej swasta ditemukan di atas katil sebuah pangsapuri di Jalan Metro Pudu 2, di sini, semalam.
Mayat lelaki warga Yemen berusia 24 tahun berkenaan ditemukan kira-kira pukul 5 petang, semalam, selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kerana sudah berbau busuk.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat berkenaan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki berkenaan akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika ditemui di Balai Polis Setiawangsa, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail hadir pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa.
Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen ketika mengulas mengenai kawalan keselamatan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ), malam ini, Allaudeen berkata, pihaknya berharap tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Kami memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi sepanjang perlawanan itu berlangsung nanti.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti arahan pihak berkuasa di lapangan bagi mengelakkan kesesakan,” jelasnya. -UTUSAN