KUALA NERUS: Tindakan parti baharu yang bakal diterajui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memohon menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah langkah tepat bagi memperkukuh kedudukan parti itu dan blok pembangkang.
Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebuah parti baharu tidak mampu berdiri dengan sendiri dan perlu menyertai gabungan politik yang kuat untuk kelangsungannya.
Beliau yang juga Pengerusi PN Perlis berkata, gabungan paling kukuh pada masa ini adalah PN yang dilihat sesuai untuk parti baharu itu menjadi sebahagian daripadanya.
“Langkah menubuhkan parti baharu boleh menjadi strategi tepat tetapi ia tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan gabungan besar. Dalam kalangan pembangkang, PN adalah gabungan paling kuat dan sesuai untuk disertai,” katanya ketika ditemui pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Stadium Gong Badak, di sini, hari ini.
Terdahulu, bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dilaporkan berkata, parti baharu yang bakal diterajui Hamzah akan memohon untuk menyertai PN selepas penubuhannya diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Langkah itu dijangka bukan sahaja memperkukuh kedudukan parti tersebut, malah menguatkan PN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Shahidan, Hamzah turut mempunyai pilihan untuk menyertai parti sedia ada seperti Pas tetapi menubuhkan parti baharu memberi ruang lebih besar untuk membawa pengaruh sendiri.
“Jika benar terdapat sokongan sehingga 19 Ahli Parlimen bersamanya, ia sudah cukup kuat untuk menubuhkan parti baharu. Namun, untuk menjadi lebih stabil, ia tetap memerlukan masa dan strategi tersusun.
“Penyertaan dalam PN mengukuhkan kedudukan parti baharu itu sekali gus memperkuat blok pembangkang,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, Konsep Rumah Bangsa yang diperkenal Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid adalah penyatuan ummah yang mana penyertaan mana-mana pihak bukannya bermaksud mereka menyertai parti itu.
Katanya, Rumah Bangsa bertujuan menyatupadukan parti-parti Melayu dan memperkukuh perpaduan ummah.
Kata beliau, penyertaan individu atau kumpulan ke dalam UMNO tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan maksud sebenar Rumah Bangsa.
“Rumah Bangsa adalah penyatuan ummah, itu yang saya faham. Masuk UMNO itu bukan Rumah Bangsa. Jika ada yang masuk UMNO, itu hak mereka, mungkin untuk bertanding pilihan raya, tetapi ia tidak mewakili konsep penyatuan ummah yang sebenar,” katanya.
Shahidan berkata, beliau menyokong sebarang inisiatif Rumah Bangsa yang fokus kepada perpaduan Melayu bukan kepartian.
“Kalau Rumah Bangsa itu benar-benar untuk penyatuan ummah, saya sokong. Tetapi kalau Rumah Bangsa itu nak masuk UMNO, itu hak kamu,” katanya. – UTUSAN










