Peguam perlu kuasai AI, bukan lagi sekadar ‘enjin carian’ - Utusan Malaysia

Peguam perlu kuasai AI, bukan lagi sekadar ‘enjin carian’

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Profesion guaman perlu bergerak seiring perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), dan tidak lagi bergantung kepada kaedah lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan itu menuntut peguam membangunkan kemahiran yang tidak mudah ditiru teknologi, termasuk keupayaan membuat pertimbangan beretika serta memahami dimensi kemanusiaan dalam sesuatu pertikaian.

Katanya, landskap perundangan global kini berada di ambang perubahan besar yang memerlukan kemahiran baharu, khususnya dalam mendepani kemajuan teknologi.

“Walaupun penting menilai masa depan profesion serta pendidikan undang-undang menjelang 2030, keutamaan harus diberikan kepada usaha merungkai persoalan sukar dan membina struktur keadilan.

“Menjelang 2030, aspek literal undang-undang seperti statut dan preceden akan dikuasai AI. Oleh itu, peguam tidak lagi sekadar ‘enjin carian berbaju suit’, sebaliknya perlu memenuhi tuntutan peranan yang lebih luas,” katanya ketika merasmikan Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Anwar turut menekankan keperluan untuk sistem pendidikan undang-undang menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, termasuk melatih pelajar menjadi lebih celik teknologi dan berupaya menilai data secara kritikal.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan profesion guaman terus relevan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks, termasuk dalam menangani isu rentas sempadan, aset digital dan perubahan iklim.

Anwar berkata, prinsip kedaulatan undang-undang menuntut agar setiap undang-undang boleh diakses dan dikuatkuasakan secara sama rata kepada semua pihak.

Beliau berkata, usaha mempertahankan prinsip tersebut amat penting, bukan sahaja dalam kehidupan sebagai warganegara Malaysia, malah dalam hubungan antara negara di peringkat global.

Bagaimanapun, beliau berkata, hakikat arena geopolitik ketika ini menunjukkan prinsip itu semakin terhakis apabila digantikan dengan pendekatan ‘hukum rimba’ yang menyaksikan nilai keadilan diketepikan dan kekuatan menjadi penentu kebenaran.

Katanya, kedaulatan undang-undang dalam hubungan antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih. 

“Ia tidak boleh digunakan untuk melindungi sesebuah pihak daripada tanggungjawab sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibiliti undang-undang bergantung  konsistensi pelaksanaannya.

“Keadaan ini memperlihatkan ironi yang ketara serta hipokrasi tersirat, malah satu penyimpangan nilai apabila segelintir pihak yang lantang memperjuangkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan gagal mematuhinya, bahkan secara terbuka memperlekehkan prinsip tersebut.

“Situasi berkenaan memperlihatkan ironi mendalam serta hipokrasi tersirat serta penyimpangan nilai apabila segelintir pihak yang lantang memperjuangkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan gagal mematuhinya. Bahkan, mereka juga secara terbuka memperlekehkan prinsip tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN