Mat motor anggap kesalahan ubah suai hanya kesalahan kecil

Mat motor anggap kesalahan ubah suai motosikal hanya kesalahan kecil

JABATAN Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan ke atas motosikal yang telah diubah suai di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir penunggang motosikal terutamanya remaja menanggalkan brek belakang kenderaan berisiko berdepan kemalangan.

Trend mengubah suai motosikal ini dilihat semakin menjadi-jadi selepas sebanyak 83 motosikal yang tidak mempunyai brek belakang dikesan pihak polis dalam Operasi Motosikal atau Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pengubahsuaian motosikal seumpama ini menjadi fenomena baharu ‘mat motor’ yang mahu mendapatkan keseronokan.

Ini kerana, kata beliau, mereka menganggap pengubahsuaian yang dilakukan hanya kesalahan kecil dan bukan jenayah berat.

“Namun mereka perlu ingat bahawa sikap sambil lewa ini boleh mengundang kepada kemalangan hingga meragut nyawa bukan sahaja diri sendiri tetapi juga pengguna jalan yang lain.

“Dalam isu ini, kita bukan hendak aniaya dan tangkap mereka selain mengeluarkan saman atas kesalahan dilakukan tetapi kita mahu mereka faham bahawa tindakan itu membahayakan banyak pihak termasuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akbar kejayaan Op Motosikal atau Samseng Jalanan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, berdasarkan statistik, katanya, sebanyak 188 kes kemalangan maut direkodkan di ibu kota ini bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 151 kemalangan maut direkodkan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 76 individu maut adalah remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun.

“Jumlah ini menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan paling berisiko terdedah dengan kemalangan yang ditambah lagi dengan sikap mereka yang suka melakukan ubah suai,” jelasnya.

Sarifudin berkata, antara alasan yang diberikan oleh penunggang motosikal untuk membuang brek belakang adalah mahu kenderaan mereka lebih ringan.

“Alasan ini selalu diberikan mereka adalah mahu motosikal jadi lebih ringan dengan alasan ia memberi impak bagi mendapatkan kelajuan maksimum sekali gus bergerak lebih pantas.

“Pada masa sama, mereka mahu mendapatkan keseronokan menunggang motosikal diubah suai yang dianggap sebagai trend dengan aksi dan lagak di tengah ibu kota,” ujarnya.

Beliau berkata, selain tiada brek belakang, pihaknya juga mengesan beberapa ubah suai lain yang kerap dilakukan oleh penunggang motosikal termasuk ekzos bising, tayar kecil serta nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’.

Kata beliau, kebelakangan ini, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk setempat di Jalan Tun Razak mengenai gangguan bunyi bising dan operasi dilakukan bagi mengambil tindakan.

“Kita akan meneruskan operasi ini dalam usaha memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan dengan tidak membuat sebarang ubah suai pada kenderaan.

“Pada masa sama, kita sarankan ibu bapa supaya memantau motosikal anak-anak remaja mereka agar tidak membuat ubah suai memandangkan mereka adalah golongan paling ramai yang melakukan kesalahan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN