MARAN: Kos operasi dan pengendalian lori sawit turut meningkat mendadak susukan peningkatan harga diesel ketika ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, lonjakan harga bahan api itu yang mencecah lebih RM6 seliter menyebabkan kos operasi lori sawit meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh singkat.
“Sektor pengangkutan terutama lori sawit antara yang paling terkesan apabila kos operasi meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh singkat.
“Bila diesel naik, semua naik, kita tiada pilihan selain terpaksa hadapi keadaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang pemandu lori sawit, Mohd. Rahmat Abdul Rahman, 40, dari Felda Jengka Satu pula berkata, sebelum ini kos mengisi penuh tangki lori tiga tan metrik sekitar RM230 namun kini meningkat kepada kira-kira RM400.
Katanya, kenaikan harga diesel turut memaksa kadar upah pengangkutan dinaikkan daripada sekitar RM80 satu tan metrik kepada RM110 satu tan metrik bagi menampung peningkatan kos operasi.
Keadaan itu katanya memberi kesan langsung kepada peneroka sawit apabila kos penghantaran buah ke kilang meningkat yang menghakis margin pendapatan mereka.
“Kalau jarak ke kilang seperti di Felda Jengka 8 sekitar 30 kilometer pun sudah berasa bebannya, inikan pula yang lebih jauh,” katanya.
Kesan kenaikan diesel turut menjejaskan operasi industri sayur segar di Cameron Highlands.
Pengerusi Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Law Weng Soow, 40, berkata, hampir semua operasi ladang bergantung kepada diesel termasuk pam air, generator, jentera dan kenderaan pengangkutan.
“Kami bukan sahaja rugi, malah ada pengusaha tidak mampu bayar gaji pekerja,” katanya.
Katanya, tekanan kos operasi yang berterusan berisiko mengganggu rantaian bekalan sayur dan memberi kesan langsung kepada pengguna.-UTUSAN.










