Pesawah di Kelantan ‘berehat’

Pesawah di Kelantan ‘berehat’

Hampir semua aktiviti di sawah bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel bermula dengan kerja-kerja membajak, menuai sehinggalah mengangkut hasil ke pusat jualan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pesawah di ne­geri ini terpaksa ‘berehat’ buat sementara waktu daripada mengusahakan tanaman padi sekiranya harga diesel terus melambung.

Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail berkata, kenaikan harga bahan bakar itu yang mencecah sehingga RM6.02 seliter menyebabkan petani sudah tidak mampu menyerap kos berganda bagi mengusahakan tanaman tersebut.

Katanya, hampir semua aktiviti pertanian bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel bermula dengan kerja-kerja membajak, menuai sehinggalah mengangkut hasil ke pusat jualan.

“Sebelum ini kos membajak untuk kelusan 0.4 hektar sekitar RM170 namun sejak harga diesel melambung, harga naik sehingga RM250 untuk kelusan yang sama.

“Begitu jua dengan kos me­nuai padi, harga sudah mencecah sehingga RM20 untuk 100 kilogram. Jika harga diesel terus naik, pesawah mungkin terpaksa berehat sementara waktu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zuha memberitahu, peningkatan kos logistik termasuk caj lori untuk mengangkut padi dari bendang ke kilang juga dijangka memberi kesan berantai kepada harga benih padi dan bahan input lain.

Katanya, oleh itu kerajaan perlu mengambil langkah segera dengan melindungi sektor pertanian daripada kenaikan harga diesel yang cukup tinggi ketika ini.

“Sektor pertanian bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel. Jika kerajaan tidak melakukan sesuatu berkemungkinan besar sektor pertanian negara juga akan berdepan krisis.

“Sudahlah berdepan kenaikan harga diesel, para pesawah di Kelantan turut diuji dengan kemarau yang telah memberikan kesan kepada pengeluaran padi di negeri ini,” ujarnya.

Harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seli­ter manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 April hingga 8 April ini.

Kementerian Kewangan da­lam kenyataan memaklumkan, harga runcit petrol RON97 bagaimanapun turun 20 sen kepada RM4.95 seliter manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.

Krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40 peratus sehingga melepasi paras AS$100 setong.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN