GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) memperuntukkan sebanyak RM631 juta bagi melaksanakan pelbagai projek bekalan air di negeri ini sepanjang tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd. (PBAHB) dan PBAPP, Datuk K.Pathmanathan berkata, jumlah tersebut merupakan peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) tertinggi dalam sejarah bekalan air Pulau Pinang berbanding RM363 juta peruntukan yang diterima pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, pelaburan besar itu penting bagi memastikan kesinambungan bekalan air mencukupi kepada pengguna domestik dan industri.
“Antara projek utama yang diberi keutamaan adalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang di Seberang Perai Tengah berkapasiti 114 juta liter sehari (JLH) yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Projek ini merupakan komponen penting di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dan apabila beroperasi kelak, Empangan Mengkuang Diperbesarkan akan berfungsi sebagai empangan dwifungsi bagi menyokong bekalan air terawat di kawasan Seberang Perai Tengah,” katanya.
Katanya, PBAPP turut melaksanakan pengambilan tanah bagi pembinaan LRA Sungai Perai berkapasiti 136 JLH yang dijadual siap pada tahun 2031 selain projek peluasan LRA Sungai Dua berkapasiti 1,342 juta liter sehari yang melibatkan pembinaan kemudahan tambahan seperti kolam imbangan, tangki air dan menara tangki bagi meningkatkan kapasiti simpanan.
“PBAPP juga sedang merancang untuk membina saluran paip air terawat berdiameter 1,800 milimeter (mm) dari Macallum ke Bukit Dumbar sejauh 3.2 kilometer bagi menyalurkan lebih banyak air dari tanah besar ke bahagian pulau,” katanya.
Sementara itu, Pathmanathan berkata, pengambilan tanah bagi pembinaan LRA Sungai Muda berkapasiti 114 JLH di Seberang Perai Utara turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada projek WCP 2030.-UTUSAN.










