Mahkamah tolak petisyen batalkan kemenangan ADUN Gombak Setia - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak petisyen batalkan kemenangan ADUN Gombak Setia

MUHAMMAD HILMAN IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Ogos lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan pempetisyen untuk menutup kes atas alasan tiada saksi yang tampil bagi menyokong petisyen berkenaan.

Mahkamah beranggapan pempetisyen tidak berminat untuk meneruskan kes dan menolak petisyen bagi mencabar kemenangan Muhammad Hilman Idham sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan kemenangan Muhammad Hilman selaku responden adalah sah.

Peguam, Muhammad Amin Othman yang mewakili pempetisyen ketika dihubungi memberitahu, mahkamah turut memerintahkan anak guamnya membayar kos sebanyak RM20,000 kepada responden.

Terdahulu, petisyen bagi DUN Gombak Setia dibuat pengundi, Shaffie Omar yang mendakwa wang sebanyak RM150 telah diberikan kepada pengundi pada PRN Selangor, antara 4 dan 5 Ogos lalu.

Pada PRN Selangor yang berlangsung 12 Ogos lalu, calon Perikatan Nasional (PN) itu memenangi kerusi DUN Gombak Setia dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi selepas menewaskan dua pencabarnya.

Muhammad Hilman yang juga penyandang kerusi itu, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

Muhammad Hilman memperoleh 30,299 undi diikuti Megat Zulkarnain dengan 30,241 undi manakala Mohamed Salim pula mendapat 1,076 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN