Mahkamah tolak permohonan staf UM, guru cabar program vaksinasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan staf UM, guru cabar program vaksinasi Covid-19

Covid-19
PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di PPV Tanjong Karang. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya (UM) serta lima guru untuk mencabar program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua faktor yang dikemukakan dalam permohonan tersebut.

“Covid-19 merupakan pandemik global yang menyebabkan pihak berkuasa mengambil langkah bagi memastikan kesihatan awam terjamin.

“Mahkamah tidak bersetuju bahawa keputusan (kerajaan) bercanggah dengan Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan dan mendapati tidak rasional atau menyalahi undang-undang untuk mahkamah membatalkannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak permohonon kos oleh pihak pemohon kerana ia melibatkan faktor kepentingan awam.

Pada Mei tahun lalu, Dr. Shahnaz membenarkan permohonan mereka untuk melakukan semakan kehakiman walaupun peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam menentang tindakan itu.

Terdahulu, peguam negara dilaporkan gagal dalam rayuannya bagi menghalang sekumpulan kakitangan akademik dan pentadbiran UM serta lima guru mencabar program vaksinasi kerajaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata, Mahkamah Tinggi betul apabila memberi izin supaya merit kes itu didengar. 

Dua kumpulan itu memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 bagi perintah membatalkan arahan kerajaan melaksanakan program itu berdasarkan pekeliling yang dihantar kepada mereka.

Seramai 19 pemohon UM menamakan pendaftar UM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Pengarahnya, Khairul Adib Abd. Rahman, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Putrajaya sebagai responden.

Selain itu, lima guru memfailkan permohonan sama dengan menamakan Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Kementerian Pendidikan (KPM) dan KKM, selain Khairul dan Kerajaan Pusat sebagai responden.

Mereka menyatakan bahawa penjawat awam mesti diberi kebebasan memilih sama ada menyertai program itu atau tidak dan tindakan kerajaan memaksa pengambilan vaksin bertentangan dengan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya