Mahkamah terlepas pandang, 'stalker’ jurugambar tak hadir - Utusan Malaysia

Mahkamah terlepas pandang, ‘stalker’ jurugambar tak hadir

Mahkamah
MOHAMAD Safiq Rosli menjadi idividu pertama berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang di bicarakan di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hukuman terhadap tertuduh pertama yang didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan (KK) kerana menghendap diputuskan esok selepas Mahkamah Majistret memberitahu terlepas pandang proses permohonan perintah kehadiran (OTP).

Dalam prosiding hari ini, Majistret Sasha Diana Sabtu kemudian menetapkan semula tarikh baharu bagi pembacaan fakta kes dan jatuh hukum ke atas seorang bekas pereka sambilan, Mohamad Safiq Rosli, 37.

“Mahkamah kesal dengan perkara ini (proses membawa tertuduh ke mahkamah). Tarikh jatuh hukum kes ini ditetapkan pada 20 Disember (esok),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas dalam prosiding itu berkata, pihaknya difahamkan Mohamad Safiq tidak dikeluarkan untuk dibawa ke mahkamah.

“Kami dimaklumkan bahawa tertuduh akan dibawa pada esok. Justeru, kami memohon esok bagi penyediaan fakta kes tersebut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle” menerusi aplikasi Twitter (kini X).

Gangguan itu kemudian dibaca di sebuah rumah di daerah ini, yang mana tertuduh tahu gangguan berkenaan boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa termasuk melibatkan luahan perasaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Julai hingga 21 Julai lalu. Justeru, tertuduh didakwa atas kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan Mohamad Safiq menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Tertuduh pada Ogos lalu menjadi individu pertama didakwa mengikut seksyen tersebut selepas akta berkenaan dikuatkuasakan tahun ini.

Berdasarkan akta baharu itu, sesiapa yang berulang kali melakukan tindakan gangguan, berniat menyebabkan atau mengetahui berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Siasatan mendapati lelaki itu kerap menggunakan akaun Instagram dan X untuk menghubungi mangsa dengan turut memberi komen cinta dan menghantar pesanan berunsur lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Mangsa dikenali sebagai Acacia Diana menarik perhatian netizen apabila mendedahkan nasib dirinya yang hidup ketakutan selama lapan tahun kerana diganggu seorang lelaki di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya