GUA MUSANG: Seorang pemuda lulusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Ungku Omar, Perak rela menjadi petani sebagai kerjaya utama semata-mata mahu menjaga ayahnya yang sakit.
Pengorbanan Muhamad Aiman Yaacob, 24, untuk berbakti kepada bapanya, Yaacob Awang, 73, mendatangkan hasil apabila tanaman lada solok taming sari dan cili kulai yang diusahakan secara fertigasi di Kampung Kuala Tol di sini memberi pulangan lumayan.
Menurut Muhamad Aiman, bapanya mempunyai penyakit darah tinggi dan gout yang menyebabkan terpaksa berulang-alik untuk rawatan di hospital.
Katanya, bapanya banyak memberi sokongan dan nasihat termasuklah penjagaan dan proses penanaman pokok lada dan cili.
“Setakat ini saya tidak berdepan masalah untuk menjaga bapa dan menguruskan tanaman kerana kebun yang diusahakan berada di kawasan berhampiran rumah.
“Seawal pukul 8 pagi saya sudah ke kebun untuk membersihkan kawasan, membaja dan melihat sistem pengairan tanaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Muhamad Aiman memberitahu, idea untuk mengusahakan tanaman cili itu tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
Katanya, berbekalkan modal RM15,000 dia telah memulakan projek menanam pokok lada dan cili di kawasan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar.
“Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah perubahan cuaca dan harga pasaran. Namun, saya bersemangat kerana mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang turut membantu gerak kerja di kebun.
“Saya juga bersyukur apabila mendapat bimbingan daripada para petani lama termasuk mengikuti kursus dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian daerah,” ujarnya.
Muhamad Aiman berkata, golongan muda sepertinya tidak perlu takut untuk menceburi bidang pertanian kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan jika dilakukan dengan baik.
“Saya mendapat ilham untuk bertani selepas melihat hasil kejayaan daripada seorang pengusaha kebun cili. Jadi saya ingin mencuba sistem tanaman fertigasi dan ingin membuat kelainan di kampung ini.
“Selain itu saya juga menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan untuk mengetahui harga pasaran semasa selain mendapatkan maklumat daripada pemborong lain,” katanya.-UTUSAN










