Logeswaran bukan pengadil ‘tangkap muat’

Logeswaran bukan pengadil ‘tangkap muat’

SUBKHIDDIN MOHD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh beranggapan pengadil yang di­pilih mengadili pentas akhir Piala Malaysia sudah pasti melepasi kriteria ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pengadil FIFA itu mengharapkan semua pihak menghormati keputusan FAM yang memilih S Logeswaran bagi mengadili final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), Jumaat lalu.

“Dua finalis Piala Malaysia mara ke final selepas memenangi semua peringkat yang dihadapi mereka. Begitu juga dengan pengadil. Mereka dipilih berdasarkan kualiti dan dinilai sepanjang peringkat perlawanan.

“Kita perlu hormat sebab pemilihan dibuat berdasarkan banyak kriteria yang mereka ada. Kriteria pengadil itu dari awal musim ini, tentu dia berjaya mencapai standard yang mana membenarkan mereka (FAM) melantik dia sebagai pengadil perlawanan akhir,” katanya.

Kenyataan Subkhiddin memberi gambaran bahawa tiada istilah pengadil ‘tangkap muat’ untuk aksi final berkenaan memandangkan pengadil dipilih berdasarkan kriteria dan prestasi mereka sepanjang musim ini.

Mengulas isu Logeswaran yang dikatakan tidak disenaraikan dalam senarai pengadil FIFA, Subkhiddin melihat ia berkemungkinan kerana faktor usia ketika dia mula menjadi pengadil.

“Tiada had usia untuk pengadil FIFA tetapi secara realistiknya, kudrat pengadil yang berusia 45 tahun ke atas tidak sama seperti pengadil yang masih muda.

“(Logeswaran) mungkin 30-an dan proses (jadi pengadil FIFA) amat panjang selain kita perlu melihat prospek untuk bertugas di Piala Dunia yang berlangsung hanya empat tahun sekali.

“Pengadil muda mungkin ada peluang. Sekiranya usia Logeswaran menjadi penghalang, mungkin tidak perlu dia bekerja untuk memenuhi kuota Piala Dunia yang hanya berlangsung empat tahun sekali itu.

“Lencana FIFA adalah untuk aksi antarabangsa di mana mereka boleh dipertimbangkan untuk bertugas di Piala Dunia tetapi kalau untuk aksi domestik, ia tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, nama Logeswaran tidak berada dalam Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com.

Senarai nama terbabit hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia iaitu Razlan Joffri Ali, Muhammad Usaid Jamal dan Muhammad Nazmi Nasaruddin, Suhaizi Shukri, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dan Mohd Amirul Izwan Yaacob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya