Lima keluarga bingung hadapi banjir termenung

Lima keluarga bingung hadapi banjir termenung

MEK Mani Kadir meredah banjir termenung di kawasan rumahnya di Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sebanyak lima keluarga di Kampung Permaisuri di sini bingung memikirkan nasib mereka apabila terpaksa tinggal di rumah yang dilanda banjir termenung pada musim tengkujuh sejak lima tahun lalu.

Mek Mani Kadir, 63, berkata, kejadian banjir termenung itu kebiasaannya akan berlarutan sehingga kira-kira dua minggu sebelum surut.

“Sejak dulu lagi kawasan kediaman kami ini memang tidak terkecuali apabila banjir melanda, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini keadaan semakin meruncing selepas banyak rumah dibina di sini.

“Banjir termenung ini ambil masa paling lama sehingga dua minggu untuk surut sepenuhnya. Keadaan itu menyukarkan aktiviti harian kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Permaisuri, di sini semalam.

Katanya, banjir yang melanda sejak Ahad lalu menyebabkan air lambat surut dan sukar untuk dia mencuci rumah selepas bahagian dapur dinaiki air.

Sementara itu, Anisah Abdullah, 47, berkata, ketiadaan sistem saliran yang sistematik menyebabkan masalah tersebut terus berlaku.

“Saya berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kami di sini kerana setiap kali banjir kami terpaksa berdepan masalah kerosakan barangan rumah.

“Memang penat dengan keadaan seperti ini sehingga saya tidak lagi membeli perkakas rumah mahupun perabot kerana bimbang terpaksa menanggung kerugian akibat banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×