Libat kesatuan gubal Dasar Sumber Manusia

Libat kesatuan gubal Dasar Sumber Manusia

CUEPACS
ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan Kementerian Sumber Manusia mengambil kira dan menerima setiap pandangan yang dilontarkan oleh kesatuan pekerja terutama dalam soal melibatkan penggubalan Dasar Sumber Manusia yang baharu.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pandangan atau penglibatan daripada wakil-wakil pekerja itu adalah amat penting bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan nanti sesuai dengan persekitaran kerja semasa di negara ini.

Katanya, ia terutama dalam perspektif ekonomi yang semakin mencabar dan berkembang.

“Cuepacs menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif dan hala tuju awal yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang dilihat mahu memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan produktiviti pekerja.

“Perancangan yang digariskan Kementerian Sumber Manusia adalah selari dengan apa yang diperjuangkan oleh kesatuan pekerja terutama dalam hal yang akan membolehkan para pekerja di negara ini mendapat kadar upah atau gaji yang lebih bermaruah dan wajar,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Sumber Manusia mahu merangka Dasar Sumber Manusia sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja.

Steven Sim berkata, usaha itu termasuk bagi mempersiap pasaran buruh yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs menyambut baik keterbukaan menteri melantik wakil daripada kesatuan pekerja sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau.

Menurutnya, pelantikan Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (Nube), Chee Yeeh Ceeu adalah suatu simbolik kepada keterbukaan dalam menjalinkan hubungan yang baik dengan warga pekerja terutama dalam mendengar terus padangan daripada akar umbi.

“Cuepacs yakin pelantikan tersebut mampu memberi kesan positif terutama daripada sudut memperkasa dan meningkatkan kebajikan warga pekerja di Malaysia.

“Penglibatan saudara Chee Yeeh Ceeu ini diyakini mampu membawa suara pekerja terus kepada saluran yang tepat tanpa sebarang halangan birokrasi dan sebagainya.

“Cuepacs juga berharap YB Menteri Sumber Manusia sentiasa terbuka terhadap isu-isu yang akan dibawakan oleh kesatuan pekerja agar setiap usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak memberi kesan terbaik kepada negara dan warga pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya