PETALING JAYA :Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah pusat jagaan anak yatim di Taman Desa Pendidikan Keramat dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu disedari seorang wanita yang juga pengurus pusat jagaan itu pada pukul 5.30 pagi.
“Pengadu berusia 41 tahun itu mendapati keadaan ruang tamu di bahagian tingkat bawah pusat jagaan anak yatim berselerak sebaik bangun dari tidur.
“Hasil pemeriksaan, pelbagai dokumen diri dan sejumlah wang tunai telah hilang, dengan anggaran kerugian RM800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam premis itu melalui pintu kayu di bahagian dapur yang senang dibuka kerana pintu jeriji rosak.
Jelasnya, siasatan mendapati, suspek turut mencuri beg tangan dan dompet.
“Dia juga menggunakan kunci kereta yang diletakkan di ruang tamu untuk membuka pintu kereta sebelum melarikan sebuah lagi dompet,” katanya.
“Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan dan usaha mengesan suspek masih dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran.- UTUSAN