PETALING JAYA: Pemandu pacuan empat roda yang memandu melulu dan melanggar empat sekeluarga yang menunggang motosikal di Lebuhraya Besraya berhampiran persimpangan Puchong di sini sudah ditahan.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, penunggang motosikal dan anaknya tercedera sebelum tular dalam laman sosial.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya sebelum itu mengesan rakaman video papan pemuka kenderaan yang memaparkan mengenai kejadian.
Kata beliau, hasil semakan pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan motosikal yang ditunggangi suami isteri berusia 30 tahun bersama anak mereka berumur lima dan tujuh tahun.
Manakala Ford Ranger berkenaan dipandu lelaki berusia 21 tahun.
“Dalam insiden itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera ringan, manakala individu lain tidak cedera.
“Kedua-dua pihak membuat laporan polis mengenai kemalangan dan susulan itu, kami menahan pemandu Ford Ranger untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.-UTUSAN










