KUALA LANGAT: Polis giat memburu seorang lelaki bertopi keledar yang tular mencuri pakaian dalam di sebuah rumah di Banting di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Saleh @ Mohd. Nor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi.
“Satu laporan diterima daripada wanita berusia 32 tahun yang memaklumkan sepasang kasut dan sehelai baju dalam diambil lelaki tidak dikenali. Berikutan laporan itu, satu kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Terdahulu, kejadian itu tular dalam media sosial menerusi rakaman video berdurasi 55 saat yang memaparkan perbuatan suspek berseluar pendek memanjat tembok rumah tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan lelaki berkenaan kemudian mengambil pakaian dan kasut.
Tambah Ahmad Ridhwan, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Individu yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN