Lagu saduran: Penghinaan, penghormatan kepada artis - Utusan Malaysia

Lagu saduran: Penghinaan, penghormatan kepada artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua perbahasan menarik mengenai lagu saduran atau dalam istilah anak muda hari ini, cover song. Pertama, jika lagu itu cukup terkenal, penyanyi saduran mungkin boleh terkena tempias populariti dan tuah lagu berkenaan.

Namun, apabila terlalu banyak lagu saduran dinyanyikan oleh seorang penyanyi, dia tidak mempunyai peluang membangun identitinya sendiri. Lama kelamaan dia akan hilang dan dilupakan. Maklumlah, tiada sesiapa yang mahukan penyanyi kedua jika penyanyi asalnya sudah cukup memberi jiwa dan rasa.

Perbahasan kedua pula, ada yang menganggap bernyanyi lagu-lagu saduran adalah perbuatan tidak manis. Mengapa perlu menyanyikan lagu orang lain sedangkan dirinya sendiri adalah seorang penyanyi yang sudah memiliki lagu?

Bagi penyanyi Amir Masdi, dia tidak menafikan lagu saduran boleh dianggap sebagai ‘pemanas’ konsert atau showcase. Peminat akan bernyanyi beramai-ramai dan bersorak kerana masing-masing cukup kenal dengan lagu tersebut.

Namun penyanyi harus tahu, itu bukanlah perjuangan utama mereka. Lagu-lagu original tetap menjadi keutamaan. Persembahan lagu asal mereka haruslah menyaingi atau sama hebatnya dengan lagu-lagu saduran tadi.

“Tindakan menyadur lagu bukanlah sesuatu yang buruk. Ia juga boleh dianggap sebagai satu cara memberikan penghormatan kepada penyanyi asal lagu tersebut. Bila ramai-ramai pengunjung konsert nyanyi lagu tersebut, itu menandakan lagu tersebut cukup bagus.

“Saya juga menyanyikan cover di dalam showcase siri jelajah album. Ini kerana album saya dipenuhi lagu-lagu baharu yang mungkin ramai belum tahu.

“Maka lagu-lagu saduran adalah titik tengah untuk saya meraikan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun begitu, lagu original tetap menjadi keutamaan dan diperjuangkan di dalam showcase,” katanya kepada Hits.

ADA ADAB DALAM MENYADUR LAGU

Calon Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular itu juga menegaskan, lagu saduran mempunyai ‘adab’ tertentu untuk dinyanyikan.
Jika tidak, seseorang itu akan dilihat seperti mengejek-ejek dan bersifat biadab kepada pemuzik asal lagu tersebut.

“Cara kita memberi penghormatan kepada penyanyi dan pemuzik lagu asal pula ialah dengan menghasilkan sentuhan tersendiri. Dengan itu, lagu berkenaan akan hidup dalam versi kita sendiri.

“Jangan main-main dengan karya yang milik orang lain. Menghasilkan lagu bukanlah perkara yang mudah. Oleh itu jangan perlekehkan karya orang lain dengan bernyanyi ala kadar. Dedikasikanlah nyanyian anda dengan sepenuh hati,” tambahnya.

Menerusi showcase Amir Masdi Album Tour yang diadakan di beberapa lokasi seperti Sabah, Kuala Lumpur, dan Melaka, Amir menyanyikan beberapa lagu saduran malar segar seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah nyanyian asal oleh Ella, Bohemian Rhapsody oleh Queen dan Bukan Rayuan Gombal oleh Judika.

Amir mengakui siri showcase yang diadakan tahun ini adalah persediaan awal untuk konsert skala besar pertamanya yang dirancang diadakan pada tahun hadapan. Untuk rekod, Amir menghasilkan album pertamanya bertajuk Amir Masdi pada Julai lalu yang memuatkan 12 lagu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya