Kilang gajikan pekerja asing tanpa permit diserbu, 52 PATI ditahan

Dua kilang gajikan pekerja asing tanpa permit diserbu, 52 PATI ditahan

Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam Ops Mahir melibatkan dua kilang di Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Negeri Johor menahan 52 warga asing daripada pelbagai negara yang bekerja tanpa permit yang sah dalam dua serbuan Ops Mahir di Iskandar Puteri, semalam.

Pemangku Pengarah Imigresen Negeri Johor, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan penguat kuasa itu melakukan serbuan ke atas kilang aluminium dan kilang roti yang mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja.

Katanya, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas/permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

Tambahnya, dalam dua operasi itu, seramai 76 orang warga asing dan tempatan diperiksa.

“Dalam serbuan pertama di kilang aluminium, Jabatan Imigresen Negeri Johor menahan 10 lelaki Pakistan, sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki China dan tiga lelaki Myanmar yang berusia lingkungan antara 20 tahun hingga 46 tahun. 

“Turut ditahan seorang perempuan warga tempatan berumur 43 tahun merupakan pengurus kilang tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd. Faizal berkata, dalam serbuan kedua di kilang roti, seramai 14 lelaki dan sembilan wanita Myanmar, dua lelaki Pakistan dan seorang lelaki Nepal yang masing-masing berumur 21 hingga 42 tahun ditahan.

Katanya, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pengarah syarikat tersebut.

“Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

“Warga asing ini juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN