SERI KEMBANGAN: Kekurangan pemandu bas dan lori dilihat menjadi masalah dan cabaran terhadap industri pengangkutan di Malaysia.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memberikan latihan terbaik kepada pemandu bas dan lori bagi mengatasi masalah tersebut.
“Hal ini kerana, penting untuk memastikan pemandu memiliki kualifikasi, pelatihan, dan cukup untuk memastikan masalah keselamatan dapat dihindari.
“Keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan kesedaran tanggungjawab bagi para pemandu, menjadikan profesion ini sebagai kerja profesional dan bertanggungjawab,” katanya di Majlis Pelancaran Malaysia Commercial Vehicle Expo, di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut mengambil maklum balas daripada industri tentang kekurangan pemandu bas dan lori yang semakin serius.
“Kami telah memperkenalkan program MyLesen yang membantu mengurangkan kos latihan dan pelesenan kepada pemandu trak dan bas.
“Saya juga berharap agar industri pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan supaya pemandu di bawah program ini mendapat penempatan kerja sebaik sahaja mereka menamatkan latihan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, RapidKL juga merancang untuk meningkatkan jumlah bas sebanyak 700 bas baharu.
“Perancangan itu dilaksanakan untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh kerajaan,” jelasnya.
Anthony turut merasmikan acara Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2024 yang melancarkan siri ekspo kenderaan komersial pertama dan terbesar di Malaysia dengan fokus kepada penyelesaian masa depan dalam industri kenderaan komersial. – UTUSAN










