KEMAMAN Seramai 100 nelayan di sini bertuah dapat ilmu menerusi program komuniti bersama mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program Semarak Siswa Madani itu merupakan kerjasama universiti berkenaan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Nelayan Kuala Kertih baru-baru ini melaksanakan Program Semarak Siswa Madani.

Melalui kerjasama tersebut pelbagai program komuniti telah diadakan seperti Pemindahan Ilmu @Komuniti, pameran projek ternakan ikan keli dan ikan tilapia, pemprosesan pengadung makanan berasaskan ikan dan sumber laut serta pelbagai pameran hasil inovasi sosial pensyarah UMT.
Program ini telah melibatkan 50 kakitangan dan pelajar UMT yang melaksanakan inisiatif ini dengan berfokuskan kepada komuniti dan masyarakat nelayan Kuala Kertih menerusi pemindahan ilmu dan kepakaran yang ada pada pensyarah UMT kepada komuniti tersebut.
Inisiatif ini selari dengan sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 hingga 2025 untuk melahirkan graduan seimbang dari segi mental dan jasmani seterusnya mewujudkan ekosistem yang syumul di antara mahasiswa dan komuniti.
Program iisi dengan penerangan projek-projek inovasi yang bermanfaat kepada komuniti seperti proses makanan berasaskan laut sebagai sumber pendapatan nelayan, pembuatan unjang dan tukun untuk meningkatkan hasil tangkapan, pentenakan ikan keli dan ikan tilapia sebagai sumber pendapatan sampingan, kesedaran kelestraian lautan dan taklimat perkhidmatan UMT kepada komuniti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, yakin program seumpama ini mampu membuka peluang kepada pelajar dan kakitangan UMT mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih untuk mahasiswa berfikir secara kritis dan kreatif, mengembangan nilai kepimpinan dan keprihatinan dalam menangani masalah komuniti setempat disamping menjadi platform kepada penyelidik- penyelidik yang ada di UMT mendekati komuniti setempat.
Program kali ini cukup istimewa kerana turut disertai oleh pelajar dan kakitangan UiTM yang menyumbang kepakaran dalam bidang masakan.
Hadir sama memeriahkan program adalah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMT, Profesor Dr Marinah Mohd Ariffin. –UTUSAN










