PETALING JAYA: Menteri Kesihatan baru dilantik, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi komitmen bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti dan memperhalusi isu elaun tugas atas panggilan (on-call) untuk doktor yang sudah 11 tahun tidak disemak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, beliau sendiri sudah pun memberi taklimat ringkas kepada Dr. Dzukefly berhubung perkara tersebut berdasarkan hasil sesi libat urus kementerian bersama pegawai perubatan.
Menurutnya, hasil sesi libat urus tersebut, pelbagai cadangan dikemukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kenaikan elaun berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya lagi, keputusan muktamad mengenai semakan kadar elaun itu bagaimanapun masih belum dicapai di sebalik usaha berterusan yang dijalankan kementerian.
“Kementerian amat serius (isu kadar elaun tugas atas panggilan) dan cadangan itu sudah kami kemukakan sejak hari pertama (mengambil alih pentadbiran).
“Saya juga sudah berjumpa dengan menteri yang baru dilantik (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) dan (memberi) komitment untuk melihat perkara ini dan diperhalusi dengan teliti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr. A. Lingeshwaran yang bertanyakan langkah kerajaan untuk mengkaji semula kadar elaun atas panggilan bagi doktor yang dianggap terlalu rendah pada masa kini.
Sebelum ini, KKM mengumumkan bahawa kementerian akan mengekalkan kadar elaun semasa atas panggilan untuk doktor iaitu RM9.16 sejam kerana ia dianggap mencukupi kerana turut memperoleh elaun lain.
Ini termasuk RM750 sebulan untuk insentif perkhidmatan kritikal; bayaran insentif pakar (RM2,200 hingga RM3,100 sebulan, bergantung kepada gred) dan elaun pegawai perubatan yang bertugas selepas waktu pejabat di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital (RM80 sejam).
Kementerian juga berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani kadar elaun bagi skim perkhidmatan yang menerima kurang daripada RM100 sebulan.
Pengumuman itu dibuat selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada sesi ‘town hall’ bersama bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada Februari lalu, mencadangkan peningkatan 178 peratus dalam elaun tersebut kepada RM25 berbanding RM9.16 ketika ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, KKM turut menyertai kajian yang dijalankan JPA melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan memberi cadangan dan input diberikan pegawai perubatan untuk semakan kadar elaun berkenaan.
“Kali terakhir elaun tugas atas panggilan disemak adalah pada 2012 dan permohonan untuk kenaikan elaun itu dibangkitkan JPA pada 2022 dan 2023.
“Jika kita lihat sejarah kadar elaun, kita sudah naikkan pada 1994 hingga 2001, 2005 dan juga 2012. Ini bermakna sudah hampir 10 hingga 11 tahun semakan elaun itu.
“Justeru, kerajaan melalui JPA kini melaksanakan kajian mengenai SSPA. Susulan itu, kementerian turut menyertai kajian itu dengan memberikan input yang diperoleh daripada pegawai perubatan, kesatuan dan persatuan melalui ‘town hall’ yang dijalankan bagi meningkatkan kebajikan pegawai dalam sektor kesihatan,” katanya. – UTUSAN










