Khidmat perunding luar dimansuhkan

Khidmat perunding luar dimansuhkan

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak lagi menggunakan khidmat perun­ding luar dalam setiap pelaksa­naan projek rakyat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Langkah itu sekali gus memberikan penjimatan besar kepada kewangan negara meman­dangkan kos perkhidmatan pe­­runding itu amat tinggi sebagaimana menjadi amalan bertahun-tahun sektor kerajaan.

Menurut Ketua Setiausaha Ne­gara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, skop kerja itu kini diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada penjawat awam atas dasar kepercayaan tinggi Perdana Menteri terhadap golongan itu untuk melakukan tugas tersebut.

“Setiap satu projek itu, pe­run­ding akan buat kajian, kadang-kadang ia tak perlu pun. Jadi, sejak arahan Perdana Menteri, tidak ada lagi (khidmat perunding ini). Semua kita buat sendiri sekali gus membuktikan keupayaan penjawat awam, cu­ma mereka perlu diberi ruang dan sedikit panduan.

“Banyak penjimatan berlaku kerana bayaran perunding ini bukan murah. Kadang-kadang, berlaku pertindihan tugas de­ngan penjawat awam sendiri,” katanya dalam sesi temu bual di sini semalam.

Mohd. Zuki berkata, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang diketuai beliau adalah manifestasi kejayaan pemansuhan khidmat perunding apabila semua pelaksanaan projek dapat dipercepatkan.

Katanya, pasukan yang dianggotai pegawai-pegawai kanan kerajaan rentas kementerian bertugas sebagai satu pasukan tanpa bergerak silo dan tidak lagi mementingkan persempadanan tugas masing-masing demi memastikan projek berkepentingan rakyat dapat dilaksanakan pantas.

Antara langkah STAR ialah meneliti dan memudah cara kaedah perolehan, serta mengurangkan beberapa karenah birokrasi melibatkan proses dan prosedur yang tidak perlu.

Terbaharu, projek sekolah daif di SK Bandar Baru Bangi yang termasuk dalam 13 projek pelaksanaan STAR, berjaya disiapkan dalam tempoh 22 hari sahaja berbanding  jangkaan awal mungkin mengambil masa hampir setahun.

Dalam masa sama, katanya, segala kerenah birokrasi dapat dikurangkan apabila banyak idea baharu daripada pasukan petugas ini mencari jalan bagaimana untuk memendekkan tempoh masa dan kelulusan.

“Penjawat awam dibayar gaji untuk laksanakan tugas, bukan menyelamatkan tugas. Pasukan STAR ini lebih kepada memudah cara, sebagai contoh, pemulihan bangunan sekolah daif yang tidak kritikal ambil masa sampai lima hingga enam bulan tak siap-siap disebabkan prosedur itu.

“Jadi, kita mudahkan proses itu, STAR akan menggunakan kaedah ini untuk semua pelaksanaan projek terutama pemulihan sekolah dan klinik daif termasuk di Sabah dan Sarawak. Pada tahun depan kita merancang untuk penyelenggaraan lif atau pembinaan kemudahan kuarters penjawat awam,” katanya.

Tambah Mohd Zuki, beliau percaya kesan pelaksanaan projek tanpa khidmat perunding luar ini memberi impak besar walaupun ia baru dimulakan pada tahun ini termasuk dalam melatih kemahiran penjawat awam.

Dalam hal itu, katanya, Perdana Menteri amat menitikberatkan golongan penjawat awam menambah ilmu pengetahuan dan bersetuju untuk menghantar lebih ramai pegawai menghadiri kursus bersifat jangka sederhana di sektor industri besar bagi mempelajari bagaimana mereka boleh berjaya.

“Arahan Perdana Menteri untuk ramaikan lagi penjawat awam (mengikuti kursus) termasuk peringkat kedua yang akan menjadi pelapis sebagai ketua pada masa akan datang supaya apabila diberikan tugasan, mereka bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Pada masa ini, lantikan perunding hanya dalam bidang kepakaran yang kita tidak ada, tetapi setakat ini, sejak Anwar menerajui pentadbiran kerajaan, saya tidak nampak ada perunding dilantik kecuali perunding dalam kalangan badan berkanun universiti, namun ia masih lagi kepunyaan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN