PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kes penipuan membabitkan syarikat pengendali umrah, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. yang didakwa menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap ribuan mangsa.
Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka pihak polis dan semua kes tersebut masih dalam tindakan lanjut.
Kata beliau, perbincangan dengan pihak pejabat Peguam Negara sudah dibuat dan mendapat arahan untuk mengambil beberapa tindakan lanjut.
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Justeru, dakwaan yang menyatakan tiada tindakan daripada agensi penguat kuasa ke atas kes ini adalah tidak tepat, malah, Pengarah JSJK (Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf) juga membuat kenyataan media berkenaan kes ini pada 29 November lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semaam.
November lalu, Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima sebanyak 399 laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. melibatkan kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari lalu.
Beliau berkata, jumlah berkenaan direkodkan setakat 27 November itu melibatkan 1,614 jemaah umrah.
“Berdasarkan laporan yang diterima ini, 229 laporan dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tribunal Tuntutan Pengguna selain lima kes dirujuk ke majistret untuk tindakan sivil manakala selebihnya dalam tindakan pihak polis.
“Keterangan pengarah syarikat iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an juga sudah diambil,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Rohaimi, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak MOTAC di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) melalui 91 aduan diterima, syarikat itu dijatuhkan hukuman penggantungan lesen perniagaan umrah mulai 10 Julai 2023 sehingga 9 Januari 2024.
Malah, jelas beliau, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengambil tindakan menyenaraihitamkan syarikat dan kedua-dua pengarahnya di bawah Akta 614 Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) turut menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap 177 aduan melibatkan tuntutan sebanyak RM4.3 juta,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seramai 179 mangsa penipuan sebuah syarikat pengendali umrah mendesak pihak polis memaklumkan perkembangan terbaharu berkenaan siasatan dikaitkan dengan syarikat ternama yang didakwa memperdaya ratusan mangsa melalui pakej yang ditawarkan syarikat itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerugian yang dialami mangsa kini mencecah RM1.2 juta selain terdapat mangsa yang belum diterbangkan menunaikan umrah sejak 2019.
Dakwanya, walaupun ratusan laporan polis dibuat mangsa sejak Mac hingga Oktober tahun ini, namun, mangsa mendakwa pihak polis klasifikasikan kes sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Selain itu, pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali syarikat itu. Jadi, mengapa kes ini ROA sedangkan ini jelas satu jenayah apabila mangsa diperdaya dan ditabur pelbagai janji.
“Justeru, kita hadir hari ini bagi menyerahkan surat permohonan perkembangan semasa di bawah Seksyen 107 A di bawah Kanun Tatacara Jenayah selain menuntut pihak polis menjawab persoalan yang diajukan berkaitan kes pakej umrah yang memperdaya ribuan mangsa di luar sana,” katanya ketika sidang akhbar yang dihadiri 179 mangsa di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Susulan itu, Hishamuddin menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan kerana ia jelas melakukan jenayah penipuan dan pecah amanah.
“Pengadu berhak memohon maklum balas 14 hari selapas daripada tarikh laporan dilakukan, adakah kes mereka masih ROA atau masih dalam siasatan. Kita minta jawapan kerana kita hanya mewakili mereka,” katanya. – UTUSAN










