KEMAS, YAYASAN Pahang perkasa pendidikan al-Quran

KEMAS, Yayasan Pahang perkasa pendidikan al-Quran

NUR YASMEEN AISYAH Md. Supian menjalankan pedagogi pratahfiz di TABIKA KEMAS Kem 25 RAMD di Bentong, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Program TABIKA KEMAS Pra Tahfiz di 33 TABIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Pahang termasuk
tiga di daerah ini merupakan pendekatan positif dalam memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

Program itu mengguna pakai modul hafazan yang digunakan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) di bawah kelolaan Yayasan
Pahang.

Di Bentong terdapat tiga TABIKA Pra Tahfiz iaitu TABIKA KEMAS Kem 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), TABIKA
KEMAS Felda Kemahal dan TABIKA KEMAS Kampung Tanjung, Karak.

Ibu bapa yang ditemui berpendapat program pratahfiz ini akan memberi pendedahan awal kepada anak-anak berusia
empat hingga enam tahun hafazan al-Quran bagi surah-surah Juzu’ Amma dan surah pilihan.

ANTARA aktiviti kanak-kanak di Tabika Kemas Kem 25 RAMD.

Seorang ibu, Siti Normah Shafie, 34, bersyukur TABIKA KEMAS menyediakan kelas itu kerana mereka mendapat nilai tambah
selepas mengikuti kelas kurikulum biasa.

Menurutnya, anak sulungnya, Adzra Aisyah Muhamad Ridhuan, 5, yang sebelum ini agak malu belajar al-Quran atas faktor
usia sudah menunjukkan perkembangan positif terhadap pembelajaran al-Quran.

“Dia kini boleh menghafal beberapa ayat lazim dan doa harian dengan fasih walaupun tempoh pembelajaran baru tiga
bulan. Malah dia bersemangat belajar di luar,” katanya ketika ditemui di TABIKA KEMAS Kem 25 RAMD di sini.

Siti Normah yang merupakan Pembantu Tadbir Kewangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Repas itu menyifatkan
program rintis di TABIKA KEMAS berjaya merangsang kanak-kanak belajar al-Quran hasil modul dan pembelajaran melalui teknik
permainan.

Beliau yakin dalam tempoh dua tahun di TABIKA KEMAS kanak-kanak yang mengikut program ini dapat menguasai pembelajaran
al-Quran dengan lancar sebelum masuk ke darjah satu.

Seorang bapa, Mohd. Fahmi Abu Hasan, 35, pula berkata, program TABIKA Pra Tahfiz memberi kelegaan kepada ibu
bapa yang bekerja dan sering mengejar masa menunaikan tanggungjawab mencari rezeki.

“Program pratahfiz di TABIKA KEMAS secara langsung dapat mendedahkan ilmu asas al-Quran kepada kanak-kanak melalui
pedagogi yang sesuai dengan ilmu kanak-kanak,” katanya.

Beliau mengakui anak keduanya, Siti Athia Raqilla, 5, semakin yakin menghafal surah lazim dan doa harian hasil pembelajaran
diperoleh di TABIKA KEMAS Kem 25 RAMD.

“Cara dan kebijaksanaan cikgu mengaplikasikan modul Yayasan Pahang Berjaya menarik minat kanak-kanak sekali gus membentuk
keyakinan diri, berani mencuba dan melafazkan ayat al-Quran.

“Saya menyokong supaya program pratahfiz diperluaskan ke semua TABIKA di negeri ini kerana terbukti membentuk rasa ingin
tahu belajar al-Quran pada usia lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Guru TABIKA KEMAS Kem 25 RAMD, Nur Yasmeen Aisyah Md. Supian, 28, berkata, seramai 16 kanak-kanak di situ
menunjukkan perkembangan positif menerima pembelajaran al-Quran.

Menurutnya, pedagogi daripada modul yang disediakan Yayasan Pahang sesuai dengan usia kanakkanak prasekolah antara empat
hingga enam tahun.

“Kanak-kanak ternyata lebih berani, berdisiplin dan mudah mengikut langkah demi langkah pembelajaran yang membolehkan
mereka menghafal ayat lazim dalam tempoh tertentu.

“Saya gembira kerana dipilih menjadi guru perintis program pratahfiz ini kerana dapat menyumbang usaha celik al-Quran
dalam kalangan generasi baharu Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya