Keluarga Daud Kilau terharu dikunjungi peminat, artis

Keluarga M. Daud Kilau terharu dikunjungi peminat, artis

AHMAD Zaini Mohd Daud (tiga dari kanan) bersama peminat Allahyarham M. Daud Kilau yang mengunjung rumah penyanyi itu di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Keluarga Allahyarham Datuk M. Daud Kilau terharu apabila dikunjungi peminat dan rakan artis selepas artis veteran itu meninggal dunia pada 18 Disember lalu.

Anak Daud Kilau, Ahmad Zaini Mohd. Daud berkata, sejak kematian bapanya, rumahnya dikunjungi peminat yang tidak sempat menziarahi pada hari Allahyarham meninggal dunia dan pengebumian.

“Kami sekeluarga terharu kerana ramai peminat bapa yang datang dari jauh untuk menziarahi dan mengucapkan takziah kepada kami di atas pemergian bapa.

“Ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan dari sekitar negeri ini. Musim cuti sekolah sekarang memberikan mereka masa untuk datang ke sini sambil melawat daerah ini.

“Kami terharu dan mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang datang menziarahi kami walaupun bapa sudah tiada. Peminat kata mereka rindukan bapa apatah lagi bapa sudah lama tidak membuat persembahan nyanyian,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Sungai Balai Baroh di sini.

Menurut Ahmad Zaini, selain peminat, keluarganya juga menerima kunjungan daripada rakan artis, pelakon veteran, Harun Hashim yang merupakan ikon Fitrah Enterprise iaitu syarikat yang menyediakan khidmat membina pusara secara percuma untuk golongan selebriti yang tidak berkemampuan dan asnaf yang meninggal dunia.

Harun berkata, beliau tidak dapat datang pada hari Daud Kilau meninggal dunia dan pengebumian kerana mempunyai urusan kerja.

Katanya, keluarga Allahyarham sudah memberi keizinan kepada pihaknya untuk menyumbangkan pusara kepuk dan batu nisan untuk kubur Daud Kilau.

“Saya antara peminat Allahyarham, malah, sejak dahulu lagi saya sering menonton persembahan pentas beliau. Banyak lagu-lagi beliau yang saya minati.

“Kematian beliau merupakan satu kehilangan besar dalam industri hiburan tanah air. Tiada siapa yang mampu menggantikan tempat beliau,” katanya.

Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan pada 18 Disember lalu pada usia 85 tahun selepas dimasukkan ke hospital itu pada 12 Disember kerana bacaan gula dalam darah yang tinggi.

Allahyarham sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN