Kebangkitan dari tahun luka Hafiz Suip

Kebangkitan dari tahun luka

Hafiz suip
Hafiz suip
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI lirik lagunya sendiri yang berbunyi ‘beralih musim ke musim, hati tetap serupa’, penyanyi Hafiz Suip tiba di studio tersenyum ceria dan menyapa sesiapa sahaja yang berselisih dengannya. Sama, masih kekal rendah hati dan tidak berlagak diva walau di rak rumah sudah bersusun piala.

Dengan secawan air coklat tanpa gula, kami duduk bertentangan mengimbau cerita lama. Siapa sangka dari seorang remaja pemalu asal Sarawak berjaya menggenggam piala nyanyian pertamanya sebagai Juara Akademi Fantasia musim ketujuh pada usia 19 tahun. Roda hidupnya berubah apabila popularitinya makin menggila. Satu demi satu tawaran nyanyian berderet diterima.

Di usia semuda itu, dia memberi warna baharu dalam gelanggang seni suara negara. Hafiz Suip menjadi nama yang menggerunkan setiap kali tampil di Anugerah Juara Lagu. Kata juri, suara Hafiz memiliki keunikan dan kebolehan yang tidak dimiliki penyanyi lain sekali gus melayakkannya membawa pulang gelaran Vokal Terbaik empat tahun berturut-turut.

“Kalau difikir-fikir, menang Akademi Fantasia masih menjadi kenangan paling indah dalam 33 tahun usia saya. Ia tidak hanya mengubah seluruh haluan hidup, tapi yang lebih penting, itulah momen pertama kali saya melihat wajah ayah begitu bangga dengan saya.

“Ayah seorang yang garang, asalnya dia menentang impian saya menjadi penyanyi. Kalau boleh dia mahu saya ikut jejaknya sebagai pendidik.

“Namun kemenangan saya mencairkan kedinginannya dan ayah seolah-olah telah memberi restu. Saya masih ingat selepas diumumkan juara, ayah senyum dan kata ‘Hafiz, sekarang kau sudah dapat apa kau mahu. Jaga diri dan teruskan’,” cerita Hafiz kepada Pancaindera.

Tidak mudah untuk remaja 19 tahun beradaptasi dengan populariti. Setiap perbuatannya dipandang dan dihakimi. Mahu atau tidak, Hafiz diajar cepat mendewasa dan mengelak daripada berbuat salah.

“Saya masih ingat ada satu majlis di Putrajaya, orang sangat ramai pada waktu itu. Saya ternampak ada seorang makcik ingin bergambar dengan saya. Ketika itu saya sedang berjalan ke kereta. Pengawal menjaga saya dengan ketat kerana orang sudah mula tolak-menolak.

“Saya cakap dengan pengawal, tak apa kita berilah peluang dengan makcik itu untuk bergambar. Tiba-tiba makcik itu melenting, katanya macamlah dia terhegeh-hegeh mahu bergambar dengan saya. Perkataan ‘peluang’ pun boleh menimbulkan salah faham,” ceritanya.

Hafiz suip

Tahun-tahun gelap Hafiz Suip

Kerana hidup adalah roda, maka ia akan bergerak ke kedudukan berbeza. Saya biarkan Hafiz mengambil nafas sebelum bertanya apa yang sebenar-benarnya terjadi di fasa ‘kehilangannya’.

Saya faham soalan itu sudah pernah diaju, namun saya tahu mata Hafiz menyimpan rahsia dan ada yang belum diceritakan sepenuhnya. Oleh itu, di kesempatan ini, saya mengharapkan jawapan yang berbeza dari Artis Serantau Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2013 itu.

Sehingga pernah ada peminat yang mengadu susah-susah menghantar kek ulang tahun kelahiran, tapi Hafiz tidak muncul di pintu.

“Sejujurnya, pada tahun 2016 adalah masa yang sangat sulit dalam hidup. Saya mengalami sakit tulang belakang. Kesakitan itu beri kesan yang sangat besar kepada saya. Sebelum ini saya akan berjoget, melompat dan lakukan pelbagai aksi semasa persembahan. Tiba-tiba semua itu bagai ditarik. Keyakinan diri saya hancur.

“Bukan itu sahaja, saya berhadapan dengan masalah kewangan dan cukai. Semuanya berlaku serentak dalam satu-satu masa. Saya menyendiri sangat lama, mengelak bertemu sesiapa dan merasakan semuanya sudah berakhir. Saya berasa sangat sunyi.

“Sehingga kini, saya berasa bersalah dan ingin meminta maaf kepada sesiapa sahaja yang cuba mencari saya dalam tempoh itu. Sebenarnya mengelak dan menyendiri tidak akan menyelesaikan apa-apa,” dedahnya.

Di tengah sengsara dan kegelapan, agama bagai menarik Hafiz kembali ke ruang cahaya. Dia bertemu dengan insan-insan baik yang menunjukkan bahawa hidupnya belum berakhir sepenuhnya.

“Ketika itulah saya mengikuti tabligh di Sarawak dan belajar semula tentang sunnah. Saya beritahu mereka untuk mengakhiri perjalanan seni saya dan fokus sahaja kepada kerja agama. Tapi Dr Sam, yang juga penyanyi ‘Saya Anak Malaysia’ meyakinkan saya bahawa laluan sebagai penyanyi perlu diteruskan.

“Katanya, Allah dah bagi keistimewaan suara dan inilah jalan untuk saya beri anak dan isteri makan. Lagipula, siapa lagi yang mahu ajak rakan-rakan industri mendekati agama. Jika saya putus asa sama sahaja dengan saya sedang kufur nikmat,” tambahnya.

Hafiz suip

Bangun dan terus bersinar

Bertahun-tahun menghilang tidak menghapuskan sejarah seorang Hafiz Suip sebagai artis berbakat tanah air. Bukankah ular menyusur akar, tiada hilang bisanya? Kini Hafiz muncul dengan lagu baru Terus Bersinar dan bertekad memahami trend lagu dan promosi semasa.

“Dalam hidup, kita memerlukan orang lain untuk sama-sama memberi motivasi. Ada suatu hari, saya dan rakan duduk tengok trofi kemenangan saya yang sudah berhabuk.

“Dia kata, Hafiz apa kata kita bersihkan semua trofi ini dan rancang buat sesuatu yang baru, macam podcast. Sepanjang bersihkan trofi, semangat saya kembali membara.

“Kini saya sedang belajar daripada bawah bagaimana menggunakan TikTok dan media sosial yang lain. Saya tidak kisah jika harus berguru dengan orang yang lebih muda. Saya ingin tetap tumbuh dan percaya bahawa rezeki Allah luas dan selalu ada di mana-mana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN