RANTAU PANJANG: Seorang wanita di pekan Rantau Panjang ‘kental’ meneruskan perniagaan putu halba walaupun sekeliling gerainya dinaiki air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azizah Abdul Rahman, 53, berkata, situasi itu memberi ‘rezeki terpijak’ apabila dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, kebanyakan pelanggannya adalah orang luar yang datang untuk melihat situasi banjir di pekan ini.
“Alhamdulillah setakat ini sudah 10 kilogram putu halba dijual. Kalau hari biasa saya hanya mampu menjual sekitar lima kilogram sahaja.
“Walaupun penat melayan pelanggan, saya bersyukur kerana ia memberi rezeki kepada,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Azizah berkata, pekarangan rumahnya dinaiki air dan terpaksa menaiki bot untuk berniaga di kawasan pekan Rantau Panjang.
“Meskipun sibuk berniaga, saya tetap memantau keadaan banjir di sini Jika air melepasi paras 0.5 meter, saya akan tutup gerai,” katanya.
Ujarnya, dia tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana menjadi loteng rumahnya untuk berlindung semasa banjir. – UTUSAN









