JAS sahkan premis terbakar di Bukit Selambau beroperasi secara haram

JAS sahkan premis terbakar di Bukit Selambau beroperasi secara haram

SHARIFAH Zakiah Syed Sahab (empat kiri) bersama pegawai JAS menerima penerangan daripada pegawai bomba di lokasi kebakaran premis di Bukit Selambau, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tiga premis yang terlibat dalam kebakaran besar di Bukit Selambau, di sini dipercayai beroperasi secara haram kerana tiada sebarang kebenaran atau lesen diperolehi di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hanya sebuah daripada premis terbabit pernah mendapat kelulusan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 11 Jun 2020.

“Bagaimanapun, premis ini tidak membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi selepas mendapat kelulusan EIA itu, manakala dua premis lagi tidak pernah merujuk atau mendapat apa-apa kelulusan daripada JAS.

“Kilang yang hendak beroperasi perlu memiliki lesen dan sekiranya tidak ada kita mentakrifkan mereka beroperasi secara haram. Laporan EIA sahaja tidak mencukupi untuk dibenarkan beroperasi kerana pegawai JAS perlu membuat lawatan dan pemeriksaan bagi memastikan segala syarat dipenuhi sebelum diberikan kebenaran operasi,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, kebakaran yang turut melibatkan letupan dan percikan seperti bunga api itu mencemaskan penduduk sekitar dan pihak bomba sehingga kini masih berusaha untuk memadam sepenuhnya api yang memusnahkan keseluruhan premis terbabit.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, premis-premis tersebut dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan buangan terpakai seperti asid, bateri terpakai, sisa elektronik dan  sekerap logam.

Katanya, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi untuk mengambil sampel buat masa ini sebelum keadaan disahkan selamat memandangkan kerja-kerja pemadaman serta pencegahan masih berjalan.

“Namun kita telah memulakan siasatan dan merakam percakapan pemilik tanah yang menyatakan lokasi itu disewakan kepada tiga buah premis berbeza tetapi menurutnya hanya dua premis sahaja yang terlibat kejadian itu.

“Dua premis tersebut disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam yang mana bahan itu kemudian dipercayai dihantar ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan,” ujarnya. 

Beliau berkata, aktiviti di ketiga-tiga premis itu tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

Katanya, pelaksanaan sebarang aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA merupakan kesalahan di bawah Seksyen 34A(6), akta berkenaan (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta sama yang memperuntukan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. 

“Manakala peletakan atau penstoran bahan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual pula adalah kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang memperuntukan denda maksimum RM500,000 dan mandatori penjara sehingga lima tahun. 

“Malah, ketiga-tiga premis itu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) akta itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(3) yang memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya