PETALING JAYA: Tiga bekas pegawai kanan anak syarikat Telekom Malaysia (TM) dihadapkan ke Mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta atau hampir RM80 juta dana syarikat telekomunikasi itu.
Jabatan Kehakiman (DoJ) AS dalam kenyataan berkata, tertuduh ialah Mohd. Hafiz Lockman, 48; Mohd. Yuzaimi Yusof, 44, dan Khanh Thuong Nguyen, 48.
Mereka didakwa menggunakan kenyataan dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS antara Julai 2020 hingga Februari 2026.
“Tiga individu ini didakwa menjalankan pecah amanah yang disengajakan dan terancang termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri,” kata Penolong Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James C. Barnacle Jr.
Mohd. Hafiz ditahan di Lapangan Terbang San Francisco manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa, bulan lalu.
Susulan itu, TM dalam kenyataan berkata, akan memberi komitmen untuk terus bekerjasama penuh dengan DoJ.
Katanya, sebelum ini TM telah memulakan siasatan sendiri berikutan mengesyaki wujud salah laku oleh individu terlibat yang membawa kepada pemecatan mereka.
“Maklumat daripada siasatan itu kemudiannya dikongsi dengan pihak berkuasa yang berkaitan. Perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa DoJ dan Mahkamah AS,” katanya.
TM memaklumkan, syarikat mematuhi standard tadbir urus dan pematuhan ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.
DoJ memutuskan untuk tidak mendakwa TM selepas syarikat itu melaporkan sendiri salah laku jenayah dan berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Menurut laporan portal antarabangsa, TM diminta m eluluskan penjualan kapasiti lapan terabait kepada sebuah syarikat multinasional AS bernilai AS$54 juta, sedangkan hanya enam terabait sebenarnya dibeli. – UTUSAN










