KOTA BHARU: Persatuan Kebajikan Pengusaha Komoditi Malaysia (PKKM) melihat kerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT) mampu mempelbagaikan potensi kayu getah dalam industri hiliran tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, kerjasama itu boleh dilakukan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana IPT mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
“Melalui R&D itu, kita mampu mencipta inovasi pengeluaran produk-produk berasaskan kayu getah.

“Saya lihat industri produk berasaskan kayu getah mempunyai potensi jika dibangunkan dengan lebih komprehensif. Dengan adanya usaha ini, saya yakin lebih ramai usahawan berasaskan kayu getah dapat dilahirkan,” katanya ketika ditemui.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, industri perabot berasaskan kayu getah berpotensi memberi sumbangan tinggi kepada ekonomi negara pada tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Operasi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Saiful Bahri Salleh berkata, sumbangan eksport bagi industri perkayuan negara berada di kedudukan ketiga selepas sawit dan getah pada 2022 iaitu sebanyak 12.2 peratus.
Dalam perkembangan lain, Kameruzaman yang juga Pengerusi Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan dalam kalangan pekebun.
Katanya, tumpuan kepada industri perabut berasaskan kayu getah tidak banyak membantu para pekebun untuk mendapat tinggi secara berterusan,” ujarnya. –UTUSAN










