PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil dicabar hadir ke mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung pada malam ini bagi menyuarakan bantahan terhadap kerjasama parti dengan DAP dalam kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk konon ada segelintir pemimpin Umno menjadi ‘barua’ DAP yang menjadi punca parti itu ditolak orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Sabtu lalu.
“Saya harap malam ini Isham datang mesyuarat MT. Kalau ada pendapat lain beliau boleh suarakan dan setakat ini beliau tak datang mesyuarat tiga kali, mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini.
“Suarakan pendapat yang beliau sanggah (tolak kerjasama DAP) apabila kita jalin kerjasama dengan PH bentuk kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan penyampaian sumbangan tabung kemanusiaan bagi rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn. Bhd. dan Wanita Umno di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Isham sebelum ini lantang mengkritik kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan khususnya DAP, dengan yang terbaru pada 5 Disember lalu apabila menyatakan parti itu terus menerima penolakan orang Melayu kerana seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam di samping sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua’ DAP.
Malah beliau membangkitkan semula isu kerjasama antara kedua-dua parti apabila berkata Naib Presiden Pas, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memujuk UMNO bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Ahmad Shamsuri menang besar di PRK Kemaman dan menewaskan Barisan Nasional.
UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada malam ini sekali gus menjadi medan perbincangan pertama parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kemaman
Dalam pada itu Isham dalam kenyataan balasnya berkata , beliau kekal dalam pendiriannya untuk menolak selagi Ahmad Zahid membuat keputusan untuk bersama DAP.
“Baru tadi Presiden UMNO arahkan saya untuk datang mesyuarat (MT) malam ini. Beliau buat kenyataan akhbar secara terbuka. Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang dia pengerusikan dan dia veto keputusannya.
“Ini penggal kedua saya dalam Majlis Tertinggi, saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat dalam mesyuarat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya. Kalau dia ikhlas, mungkin Presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini, di gelanggang yang neutral. Kalau dia berani, : ujarnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
“Saya harap Datuk Seri Presiden sedar dan menerima hakikat dan tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang-orang Melayu kini menolak UMNO oleh kerana keputusan Presiden untuk pergi pilihan raya bersama DAP selepas PRU-15.
Justeru katanya, jika keadaan berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan tersebut
Isham berkata, UMNO ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini.
Justeru ujarnya, jangan kerana kepentingan diri, seluruh parti hancur lebur dibuatnya.
” Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa, “ujar Isham.
.-UTUSAN










